Mercedes-Benz Malaysia (MBM) baru-baru ini memuat naik sekeping foto acah (teaser) yang cukup sentimental di Facebook rasmi mereka—memperlihatkan "Otai" W108 berdiri megah di samping sebuah model baharu yang masih misteri. Namun, peminat setia pasti perasan bentuk lampu bintang itu milik Mercedes-Benz S-Class W223 Facelift 2026 yang baru sahaja membuat debut global awal tahun ini. Nampaknya, penanda aras "Kereta Bos" ini bakal dilancarkan di pasaran tempatan seawal hujung Mei ini!

Bukan sekadar makeup nipis, Mercedes mendakwa lebih 50% komponen kereta ini telah ditukar. Perubahan paling ketara adalah di bahagian depan: gril gergasi kini 20% lebih besar dan dipenuhi corak bintang halus, lengkap dengan bingkai berlampu (illuminated). Malah, logo bintang atas bonet juga kini boleh menyala! "Bling-bling" sebegini memang kena sangat dengan imej Dato-Dato kita. Bahagian belakang pula mengikut jejak W214 E-Class dengan grafik LED berbentuk tiga bintang dalam lampu belakang.



Masuk ke ruang kabin, perubahannya memang drastik. Skrin tengah jenis menegak ala iPad kini dibuang dan digantikan dengan MBUX Superscreen seperti E-Class baharu. Satu panel kaca besar merentangi papan pemuka, menggabungkan skrin tengah 14.4-inci dan skrin penumpang 12.3-inci. Paling canggih, sistem ini kini ada Google Maps dan AI generatif (seperti ChatGPT dan Google Gemini). Lepas ni, boleh bersembang panjang dengan kereta, bukan sekadar bagi arahan "Open Window" saja.



Memandangkan struktur cukai kita, MBM dijangka akan terus mempertaruhkan model pemasangan tempatan (CKD) S580e Plug-in Hybrid (harga semasa RM739k). Walaupun masih menggunakan enjin 3.0L turbo straight-six, prestasinya telah "ditala" lebih tinggi:
Output Enjin: 381 PS / 560 Nm (sebelum ini 367 PS / 500 Nm)
Output Motor: 163 PS (sebelum ini 150 PS)
Output Gabungan: 585 PS / 750 Nm
Walaupun makin berkuasa, bateri 28.6 kWh masih mampu memberi jarak pemanduan elektrik (EV) sekitar 100km—cukup sangat nak hadap jem di tengah bandar KL. Untuk peminat enjin V8, kemungkinan besar ia hanya akan ada pada model kayangan AMG S63 E Performance.


S-Class tetap S-Class, cuma versi facelift ini bawa teknologi ke tahap langit. Walaupun rim 21-inci mungkin buat kita "pening" sikit dengan keadaan jalan berlubang di Malaysia, sistem suspensi Airmatic sekarang ada fungsi "data crowdsourcing" untuk kesan bonggol atau lubang lebih awal—memang ngam sangat dengan jalan raya kita. MBM belum umum harga rasmi, tapi jangkakan ada sedikit perubahan. Bos-bos sekalian, buku cek sudah sedia?