Kelibat model terbaharu Geely Galaxy TT kini rasmi didedahkan melalui dokumen pengisytiharan terbaru daripada Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat (MIIT) China pada 9 Mei. Sebagai model baharu dalam keluarga Galaxy, TT tampil dengan bahasa rekaan yang lebih segar dan bentuk badan ‘sleek’ yang memberikan impak visual yang kuat.
Galaxy TT menampilkan wajah yang berbeza berbanding model Galaxy sedia ada. Ia hadir dengan gril tertutup (closed-off) khas untuk EV, dipadankan dengan lampu LED berbentuk L yang tajam. Bahagian bawah bampar depan menggunakan rekaan tiga segmen dengan garisan yang lebih 'berotot', menonjolkan imej yang lebih agresif.
Dari sisi, TT menggunakan profil Fastback yang dinamik. Garisan bumbung yang melandai ke belakang dipadankan dengan rim aloi lima jejari serta pemegang pintu separa tersembunyi yang membantu dari segi aerodinamik dan gaya moden.

Saiz Galaxy TT boleh dikategorikan sebagai sedan besar, malah lebih panjang daripada kebanyakan sedan Segmen-D di pasaran:
Panjang: 4,999 mm
Lebar: 1,919 mm
Tinggi: 1,479 mm
Jarak Roda (Wheelbase): 2,920 mm
Dengan jarak roda hampir 3 meter, Galaxy TT dijangka menawarkan ruang kabin yang sangat luas, meletakkannya sebagai pesaing dalam pasaran sedan elektrik sederhana besar.

Berdasarkan maklumat pengisytiharan, Galaxy TT dikuasakan oleh motor elektrik tunggal:
Kuasa Maksimum: 245 kW (sekitar 333 PS / 333 hp)
Kelajuan Maksimum: 200 km/h
Sistem Pacuan: Buat masa ini didaftarkan sebagai motor tunggal; versi pacuan semua roda (AWD) mungkin akan menyusul kemudian.

Maklumat mengenai kapasiti bateri dan jarak gerak (range) masih belum didedahkan dan dijangka akan diumumkan semasa pelancaran rasmi kelak.