Nama lagenda kini kembali! Selepas sekian lama menyepi, Honda akhirnya menghidupkan semula nama Prelude untuk pasaran Malaysia. Honda Malaysia secara rasmi mengumumkan tempahan kini dibuka bagi Honda Prelude 2026, yang bukan sahaja model coupe hybrid e:HEV pertama jenama itu di sini, malah menjadi simbol prestasi dalam era elektrifikasi.

Prelude 2026 dikuasakan oleh sistem hybrid 2.0L e:HEV yang ditala khas, menghasilkan kuasa 184 PS dan tork puncak 315 Nm. Berbeza dengan hibrid biasa yang mementingkan penjimatan, sistem ini fokus kepada tindak balas motor elektrik yang pantas dan pecutan linear, memberikan rasa pemanduan seperti kereta prestasi sebenar.
Satu ciri menarik ialah teknologi S+ Shift. Sistem ini menyelaraskan enjin dan motor elektrik untuk mensimulasikan "feel" pertukaran gear tradisional, lengkap dengan kawalan bunyi aktif (ASC) untuk membangkitkan adrenalin pemandu ketika memecut.

Dari aspek casis, Prelude tidak menghampakan. Ia menggunakan tetapan suspensi sport yang ditala mengikut gaya Civic Type R untuk kestabilan tinggi di selekoh.
Dengan dimensi 4,522 mm (P) x 1,880 mm (L) x 1,355 mm (T) serta jarak roda 2,605 mm, profilnya yang rendah dan lebar menjamin pusat graviti yang mantap. Ia turut dilengkapi rim 19-inci dan sistem brek Brembo untuk prestasi membrek yang lebih meyakinkan.

Rupa luaran Prelude tampil kemas dengan gaya Coupe yang elegan, lengkap dengan pemegang pintu tersembunyi dan gril krom gelap. Dari segi keselamatan, ia dilengkapi sepenuhnya dengan sistem Honda SENSING termasuk fungsi Pemantauan Titik Buta (BSM) untuk kegunaan harian yang lebih selamat.

Sempena kempen "Hybrid Done Right", pelanggan yang menempah model e:HEV layak menerima rebat tunai RM2,000, percuma kos upah servis selama dua tahun, serta peluang memenangi sesi pandu uji selama seminggu selepas pelancaran rasmi. Pemilik sedia ada Honda juga berpeluang menikmati ganjaran kesetiaan sehingga RM 2,000.

Kemunculan semula Honda Prelude membuktikan bahawa teknologi hibrid tidak semestinya membosankan. Ia berjaya menggabungkan kecekapan bahan api dengan DNA pemanduan mantap yang sentiasa menjadi idaman peminat Honda. Jika anda sedang mencari sebuah coupe sport yang menawarkan teknologi moden dan keseronokan memandu tanpa bergantung sepenuhnya kepada enjin petrol tradisional, Prelude 2026 adalah pilihan paling "tepat" dalam pasaran ketika ini.

Honda Prelude 2026 dijangka akan dilancarkan secara rasmi pada suku kedua (Q2) tahun ini. Kunjungi pengedar sah Honda berhampiran anda untuk membuat tempahan dan nikmati ganjaran awal melalui promosi "Hybrid Done Right"!