[SHENZHEN] Bayangkan anda membawa keluarga ke Drive-thru KFC, dan sebelum sempat lagu baru di radio habis dimainkan, BYD anda sudah pun siap dicas penuh!
Baru-baru ini, BYD secara rasmi menandatangani perjanjian kerjasama strategik dengan gergasi makanan segera global, KFC. Kedua-dua pihak mengumumkan integrasi teknologi kenderaan tenaga baharu (NEV) dengan kepakaran runcit makanan. Melalui senario Drive-thru yang sangat sinonim dengan pemandu di Malaysia, BYD akan menyuntik teknologi pengecasan pantas (flash charging) dan sistem kokpit pintar bagi membina ekosistem "9 minit servis sehenti manusia-kereta".

Inti pati kerjasama ini adalah untuk menyelesaikan masalah "anxiety" jarak pemanduan bagi pemilik EV. Menurut data rasmi, proses yang dibangunkan adalah seperti berikut:
Pesanan Pintar: Semasa memandu, pengguna boleh membuat pesanan dan bayaran lebih awal melalui fungsi suara pintar pada skrin BYD.
Ambil Tanpa Turun Kereta: Setibanya di cawangan Drive-thru KFC, tidak perlu beratur panjang, hanya turunkan tingkap untuk mengambil pesanan.
Pengecasan Kilat: Pasangkan palam pengecas di stesen BYD yang disediakan di premis KFC. Sambil anda menikmati hidangan, kenderaan akan dicas dalam masa 9 minit sahaja.

Kehebatan "cas penuh 9 minit" ini berpunca daripada Bateri Blade Generasi Ke-2 yang bakal diperkenalkan oleh BYD. Dengan sokongan pengecasan berkuasa 1,500kW, kenderaan mampu dicas dari 10% ke 97% dalam masa 9 minit sahaja.
Dari segi perisian, jenama di bawah naungan BYD iaitu Fang Cheng Bao (model Ti7) akan menjadi yang pertama dilengkapi fungsi "Pesanan Pintar KFC". Fungsi ini akan diperluaskan ke model-model utama BYD yang lain melalui kemas kini OTA. Sistem ini juga mampu memadankan laluan perjalanan dengan lokasi KFC terdekat dan memberi peringatan untuk mengambil pesanan.

Pengurus Besar Penjenamaan dan PR BYD, Li Yunfei, menyatakan bahawa BYD telah membina lebih 5,000 stesen pengecasan pantas di China, dengan sasaran 20,000 stesen menjelang akhir 2026.
Apa yang paling menarik buat peminat di Malaysia, BYD merancang untuk meluaskan rangkaian pengecasan ini ke pasaran luar negara menjelang akhir 2026. Memandangkan Malaysia merupakan pasaran utama BYD di Asia Tenggara dan KFC mempunyai rangkaian cawangan yang sangat meluas di sini, pengalaman "makan ayam goreng sambil cas kereta" mungkin akan menjadi kenyataan tidak lama lagi!

Gandingan gaya hidup dan mobiliti seperti ini adalah norma baharu dalam kehidupan EV masa hadapan. Berbanding mengisi minyak cara tradisional, kerjasama BYD dan KFC bukan sekadar meningkatkan kecekapan, malah mengubah rentak hidup pengguna. Jika sistem ini masuk ke Malaysia, adakah anda sanggup makan dua ketul ayam "Original Recipe" tambahan demi pengecasan 9 minit ini?