Bagi peminat Bimmer, 2026 merupakan tahun yang bersejarah kerana model ikonik BMW M3 meraikan ulang tahun ke-40 secara rasmi.
Bagi menyambut pencapaian ini, BMW telah mendedahkan foto rasmi BMW M3 40th Anniversary Edition. Model baharu ini tampil dengan warna eksklusif yang penuh nostalgia dan perincian khas. Edisi terhad ini akan membuat kemunculan sulung global di Beijing Auto Show akan datang dan dijangka mula dijual pada separuh kedua tahun ini.

Edisi ulang tahun ini hadir dalam dua varian iaitu Sedan dan Touring, di mana masing-masing mempunyai warna "hero" tersendiri:
Sedan: Menggunakan warna legenda Laguna Seca Blue. Warna ini sangat diminati peminat M, dipadankan dengan gril "kidney" hitam berkilat dan lampu utama digelapkan (smoked).


Touring: Hadir dengan warna Wildberry daripada siri Individual yang sangat elegan. Paling menarik adalah rim 826M berwarna emas khas untuk edisi terhad ini, dengan angkup brek M berwarna merah di dalamnya.



Sebagai tanda identiti khas, logo peringatan "40 Years M3" diletakkan pada tiang-B, kemasan dalaman, dan penyandar kepala.

Nadi utama edisi ini masih lagi enjin prestasi tinggi. Berasaskan M3 Competition sedia ada, ia dikuasakan oleh enjin S58 3.0T enam silinder sebaris twin-turbo:
Output Maksimum: 390 kW (sekitar 530 hp).
Transmisi: Kotak gear automatik M Steptronic 8-kelajuan dengan sistem pacuan semua roda M xDrive.
Edisi Ke-40 ini juga telah ditala semula untuk kelajuan maksimum yang lebih tinggi:
Versi Sedan: Kelajuan maksimum sehingga 290 km/j.
Versi Touring: Kelajuan maksimum sehingga 280 km/j.
Setakat ini, unit ini disahkan sangat terhad. Untuk pasaran China, versi Sedan hanya dihadkan kepada 40 unit, manakala versi Touring lebih eksklusif dengan hanya 20 unit sahaja.
Walaupun BMW Malaysia belum membuat sebarang pengumuman, Malaysia merupakan antara pasaran model M paling kukuh di dunia (terutamanya M3 Touring). Kita mungkin boleh berharap beberapa unit dibawa masuk melalui saluran rasmi atau "Parallel Import".