BYD baru-baru ini melancarkan secara rasmi Sealion 05 serba baharu di pasaran China. Sebagai SUV kompak terbaharu dalam siri Ocean, model ini bukan sahaja tampil lebih segak, malah membawakan evolusi teras iaitu teknologi plug-in hybrid DM Generasi Ke-5 kebanggaan BYD, yang membolehkan jarak gerak komprehensif mencecah lebih 2,000km!
Sealion 05 ditawarkan dalam beberapa varian dengan harga rasmi di China antara 97,900 hingga 145,900 RMB. Jika ditukar terus kepada mata wang tempatan, harga permulaannya adalah sekitar RM64,500.


Dari segi reka bentuk, Sealion 05 mengekalkan bahasa rekaan "Ocean Aesthetics" tetapi dengan perincian yang lebih tajam dan sporty:
Rekaan Depan: Bampar hadapan yang dioptimumkan bersama Active Grille Shutter (AGS) bukan sahaja nampak lebih agresif, malah meningkatkan prestasi penyejukan dan aerodinamik.
Naiktaraf Pemanduan Pintar: Varian spesifikasi tinggi boleh dilengkapi dengan LiDAR, menyokong sistem bantuan pemanduan pintar tahap tinggi "God’s Eye" (DiPilot 300).
Dimensi: Ukuran kenderaan adalah 4,620 / 1,860 / 1,630mm (P/L/T) dengan jarak roda 2,770mm. Walaupun dalam segmen SUV kompak, jarak rodanya hampir setanding SUV segmen lebih besar, menjanjikan ruang kabin yang luas.





Memasuki bahagian kabin, ia masih mengekalkan DNA rekaan keluarga BYD yang dikenali ramai:
Skrin Berpusing: Dilengkapi sistem kokpit pintar DiLink 150 baharu, lengkap dengan skrin sesentuh tengah boleh berpusing yang ikonik.
Ciri Keselesaan: Konsol tengah dilengkapi pad pengecasan telefon tanpa wayar dan pemegang cawan berkembar, dengan susun atur yang ringkas dan ergonomik.
Teknologi Hebat: Sealion 05 baharu membawakan sistem kawalan badan DiSus-C (Intelligent Damping Body Control System) yang meningkatkan kestabilan semasa mengambil selekoh. Ia juga dilengkapi sistem kawalan kestabilan ketika tayar pecah di kelajuan tinggi.


Sealion 05 ditawarkan dalam versi Elektrik Tulen (EV) dan Plug-in Hybrid (DM-i):
Versi DM-i Hybrid (Calon "Hot" untuk pasaran Malaysia):
Menggunakan teknologi DM Generasi Ke-5 dengan penggunaan bahan api serendah 3.1L/100km (NEDC).
Dengan tangki penuh dan bateri penuh, jarak gerak komprehensif mencecah 2,105km—cukup untuk perjalanan KL ke Hatyai pergi dan balik beberapa kali tanpa perlu isi minyak.
Jarak gerak elektrik tulen (CLTC) sehingga 305km.
Versi EV:
Pilihan motor 200kW dan 240kW.
Menggunakan Blade Battery generasi ke-2 dengan teknologi pengecasan pantas, meningkatkan jarak gerak CLTC kepada 630km.
Buat masa ini, barisan produk BYD Malaysia (BYD SD Motors Malaysia) mempunyai Atto 3 sebagai SUV segmen permulaan, manakala Sealion 07 menyasarkan segmen premium.
Sealion 05 dilihat mampu mengisi ruang kosong antara kedua-dua model tersebut. Terutamanya dengan penggunaan minyak 3.1L/100km, ia pastinya menjadi daya tarikan utama di Malaysia ketika subsidi petrol mula disasarkan. Jika ia dibawa masuk secara CKD dengan harga sekitar RM120k - RM140k, ia pasti akan memberi saingan sengit kepada Proton X70 atau Proton e.MAS 7.