Laju betul pergerakan Jetour di Malaysia! Menerusi hantaran acah (teaser) di media sosial semalam, Jetour Auto Malaysia mengesahkan model terbaru, Jetour T1, bakal membuat kemunculan rasmi di Penang International Autoshow 2026 yang akan membuka tirainya minggu ini!
Debut di Pulau Pinang, Petanda Pelancaran Semakin Dekat
Sebenarnya, Jetour T1 sudah beberapa kali "kantoi" diintip (spyshot) di jalan raya kita. Sejak Disember dan November tahun lalu, SUV ini telah dikesan di sekitar Petaling Jaya dan Bandar Baru Bangi dengan pelekat penyamaran. Kini, dengan bermulanya kempen acah rasmi, ini bermakna peminat automotif tempatan tidak perlu menunggu lama untuk memiliki "kereta kotak" kedua ini.

Walaupun kedua-duanya nampak "petak", T1 lebih menjurus kepada pemanduan bandar dan off-road ringan. Perbezaan paling ketara adalah di bahagian belakang: T2 ada "beg galas" (kotak tayar simpanan luaran) dan pintu but jenis buka tepi, manakala T1 menggunakan pintu but jenis buka atas (top-hinged) tanpa kotak tayar, menjadikannya nampak lebih kemas untuk keluar masuk parkir pusat membeli-belah.
Dari segi saiz, T1 sedikit kecil berbanding T2:
Panjang: 4,706 mm (T2: 4,785 mm)
Lebar: 1,967 mm
Tinggi: 1,845 mm
Jarak Roda: 2,810 mm (Walaupun badan lebih pendek, jarak roda tetap luas untuk keselesaan ruang dalaman)


Di China, Jetour T1 ditawarkan dengan pilihan enjin 1.5L dan 2.0L turbo. Memandangkan Jetour T2 versi Malaysia menggunakan nadi 2.0T, ditambah pula dengan rekod T1 yang mendapat penarafan 5-bintang ASEAN NCAP menggunakan spesifikasi 2.0T, kami menjangkakan unit 2.0T + 8AT ini akan dikekalkan untuk pasaran tempatan.
Aspek keselamatan memang tidak dilupakan. T1 berjaya meraih skor tinggi 87.67 mata dalam ujian ASEAN NCAP, sekali gus melayakkannya menerima penarafan 5-bintang. Laporan ujian menunjukkan prestasi cemerlang dalam Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) dan Sistem Bantuan Keselamatan (SA)—satu berita baik untuk pengguna berkeluarga.



Di China, Jetour T1 dijual pada harga sekitar 124,900 hingga 154,900 yuan (kira-kira RM72k ke RM90k). Memandangkan kedudukan T1 di bawah T2, harganya dijangka lebih "mesra poket" dan mampu milik.
Jika anda sedang mencari SUV yang nampak gagah tapi tidaklah terlalu "berat" seperti jentera off-road tulen, jangan lepaskan peluang untuk melihat Jetour T1 secara dekat di SPICE Arena, Pulau Pinang hujung minggu ini.
Rasa-rasanya kalau harga T1 bermula dari RM13x,xxx, boleh goyang tak pesaing SUV Jepun yang lain? Kongsikan pendapat anda!