
Ditawarkan dalam gaya badan SUV dan Coupé, Cayenne Electric dijual pada harga bermula RM699,000 sebelum kelengkapan pilihan. Ia menjadi model produksi Porsche paling berkuasa setakat ini, dengan varian mercu Cayenne Turbo Electric mampu menghasilkan kuasa sehingga 850 kW (1,156 PS) dan tork 1,500 Nm melalui fungsi Launch Control.
Varian Turbo Electric mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 2.5 saat, mencapai 200 km/j dalam 7.4 saat serta kelajuan maksimum 260 km/j. Porsche turut menyatakan bahawa kuasa sehingga 630 kW tersedia untuk pemanduan biasa, manakala fungsi Push‑to‑Pass memberikan lonjakan kuasa 130 kW secara sementara selama 10 saat.

Semua varian Cayenne Electric dilengkapi sistem pacuan semua roda dengan Porsche Traction Management. Sistem suspensi udara adaptif dengan Porsche Active Suspension Management disediakan secara standard, manakala sistem stereng gandar belakang boleh didapatkan sebagai pilihan. Porsche Torque Vectoring Plus dipasang pada Turbo Electric, manakala sistem suspensi Porsche Active Ride turut tersedia untuk varian tertentu.
Model ini dikuasakan oleh pek bateri 113 kWh dengan sistem penyejukan dua sisi. Bergantung pada varian dan gaya badan, jarak gerak yang dituntut ujian WLTP ialah sehingga 642 km bagi Cayenne Electric SUV dan sehingga 669 km bagi Coupé Electric.

Menggunakan arkitektur elektrik 800‑volt, Cayenne Electric menyokong pengecasan pantas DC sehingga 390 kW, malah mencecah 400 kW di bawah keadaan tertentu. Porsche menyatakan bateri boleh dicas dari 10% hingga 80% dalam masa kurang daripada 16 minit apabila disambung ke stesen pengecasan berkuasa tinggi.
Jentera ini turut menampilkan sistem pemulihan tenaga sehingga 600 kW yang dihasilkan daripada program Formula E Porsche. Menurut pengeluar itu, kira‑kira 97% operasi membrek dalam pemanduan harian boleh dikendalikan oleh motor elektrik sahaja.

Cayenne Electric mempunyai ukuran 4,985 mm panjang, 1,980 mm lebar, 1,674 mm tinggi dengan jarak roda sepanjang 3,023 mm. Ia 55 mm lebih panjang berbanding versi berenjin pembakaran dalaman, manakala jarak roda yang bertambah itu memberikan ruang tempat duduk belakang yang lebih luas.
Tempat duduk belakang boleh dilaraskan secara elektrik, manakala kapasiti ruang kargo ialah antara 781 hingga 1,588 liter. Terdapat ruang bagasi hadapan berkapasiti 90 liter lagi. Kapasiti menunda pula ialah sehingga 3.5 tan, bergantung pada kelengkapan kenderaan.
Bagi versi Coupé Electric, ia mengekalkan ukuran panjang dan lebar yang sama seperti SUV tetapi 24 mm lebih rendah. Profil badannya yang lebih dinamik memberikan pekali seretan serendah 0.23 berbanding 0.25 pada model SUV. Kapasiti ruang kargonya pula ialah antara 534 hingga 1,347 liter, serta disertakan ruang bagasi hadapan berkapasiti 90 liter.

Porsche Malaysia telah menyenaraikan beberapa ciri tambahan sebagai kelengkapan standard untuk pasaran tempatan. Ini merangkumi penyaman udara automatik empat zon, tempat duduk hadapan selesa dengan pelarasan elektrik 14‑arah, tirai pelindung matahari tingkap sisi belakang dan sistem bunyi keliling Bose.
Varian asas Cayenne Electric turut disediakan dengan Sport Chrono Package beserta ciri Electric Sport Sound, sistem parkir automatik dengan 2D Surround View serta sistem stereng gandar belakang secara standard.

Varian Cayenne S Electric pula dilengkapi lampu hadapan HD Matrix LED, manakala Turbo Electric didatangkan bersama sistem audio Burmester, fungsi Mood Modes dan paparan dongak realiti tambahan.
Ciri standard lain untuk keseluruhan varian termasuk pakej storan, soket 230‑volt di dalam ruang bagasi, sistem kawalan kualiti udara serta persediaan pengecasan tanpa wayar.

Meninjau bahagian kabin, Cayenne Electric menampilkan antara muka papan pemuka Porsche Driver Experience baharu yang tertumpu pada skrin melengkung OLED Flow Display. Ia dipadankan dengan kluster instrumen digital 14.25 inci dan skrin penumpang hadapan 14.9 inci sebagai pilihan tambahan. Paparan dongak realiti tambahan turut ditawarkan.

Harga jualan bagi siri Porsche Cayenne Electric adalah seperti berikut:
Semua harga yang dinyatakan adalah sebelum kelengkapan pilihan. Model elektrik baharu ini melengkapkan barisan varian Cayenne berenjin pembakaran dalaman dan plug‑in hybrid, kedua‑duanya dipasang secara tempatan (CKD) di Malaysia.