
Walaupun kelihatan mengejutkan, model yang dipaparkan ini merupakan versi awal yang berkemungkinan besar ialah Perodua QV-E Sedan.

Perodua menamakannya sebagai C2 Concept, singkatan kepada Chapter 2. “C2 ialah sebahagian daripada naratif EV kami yang sedang berkembang. Model ini memperluaskan kisah kami sebagai produk yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia untuk dunia sambil meningkatkan pengalaman mobiliti masa hadapan bagi pelanggan kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.


Menurut Perodua, C2 Concept merupakan sebuah sedan segmen B, yang berkemungkinan menjadi petunjuk bahawa model tersebut ialah pratonton kepada sedan elektrik sepenuhnya daripada Perodua. QV-E dibangunkan berasaskan platform yang direka sendiri oleh Perodua, yang merupakan harta intelek (IP) milik syarikat tersebut.

Beliau turut menambah, “C2 akan menjadi asas kepada EV kami pada masa hadapan, dan kami menantikan maklum balas serta pandangan daripada para pengunjung di reruai kami bagi memastikan produk masa hadapan kami mampu melepasi jangkaan pelanggan.”