
Perodua telah memperluas barisan modelnya di Sri Lanka menerusi pelancaran Perodua Traz dan Perodua Alza, yang diperkenalkan di Colombo oleh pengedar sah Unimo Enterprises Limited. Spesifikasi kedua-dua model ini adalah hampir sama dengan spesifikasi pasaran Malaysia.
Pelancaran ini merupakan kesinambungan daripada pengenalan model Ativa dan Myvi Perodua di Sri Lanka sebelum ini. Negara tersebut kekal sebagai salah satu pasaran eksport terbesar Perodua, dengan lebih 20,000 unit modelnya telah terjual di sana sejak tahun 1997.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad menyatakan syarikat pada masa ini mengeksport model-modelnya sebagai unit CBU ke Brunei, Fiji, Mauritius, Bangladesh, Papua New Guinea serta Sri Lanka. “Kami juga sedang meninjau untuk mengeksport kenderaan terpakai kami, setakat ini kami telah meluaskan pasaran untuk merangkumi Timor Leste pada tahun ini,” tambahnya.
Menurut Unimo Enterprises, kedua-dua model baharu ini bertujuan meluaskan daya tarikan Perodua di kalangan keluarga dan syarikat perniagaan yang mengutamakan kos pemilikan yang praktikal, bukan sekadar harga jualan yang rendah. Pengedar tersebut turut menegaskan rangkaian sokongan perkhidmatan selepas jualan jenama yang telah kukuh di seluruh Sri Lanka sebagai satu daripada kelebihan tawaran ini.

Menurut Perodua, jumlah jualan kenderaannya di Sri Lanka telah melebihi 20,000 unit setakat ini, dengan hampir 3,000 unit telah dihantar sejak sekatan import ditarik balik pada tahun 2025. Ini memberikan kelebihan pasaran bagi pelancaran kali ini, di mana jenama itu memanfaatkan pangkalan pelanggan sedia ada untuk menembusi lebih banyak segmen berbanding bermula dari awal.
Kini, keseluruhan barisan model Perodua yang tersedia di Sri Lanka merangkumi Axia, Bezza, Ativa, Myvi, Aruz, Alza dan Traz. Menurut pihak pengedar, julat harga keseluruhan model bermula daripada LKR 8,800,000 sehingga LKR 20,000,000. Kesemua model dilindungi oleh jaminan pengeluar selama lima tahun atau 150,000 km, mengikut mana yang dahulu.
Bagi model baharu yang dilancarkan ini, harga pengenalan ditetapkan pada LKR 19,950,000 (~RM 243k) untuk Traz dengan kit badan, LKR 19,200,000 (~RM 234k) untuk Traz tanpa kit badan, dan LKR 19,950,000 (~RM 243k) untuk Alza. Harga tersebut adalah termasuk VAT dan hanya sah untuk 50 pelanggan pertama sebagai tawaran istimewa sempena pelancaran.