
Toyota Gazoo Racing Malaysia Vios Gold Championship 2026 bakal menyaksikan penutup musim yang mendebarkan. Keadaan ini berlaku selepas Pusingan Ketiga yang penuh dengan kejutan di Litar Antarabangsa Petronas Sepang, apabila pesaing yang mendahului carta juara gagal mengekalkan momentum sementara pencabar baharu muncul di ketiga-ketiga kelas.
Pusingan Ketiga menampilkan cabaran yang berbeza berbanding dua hujung minggu pertama. Pemandu bertanding dalam perlumbaan selama satu jam di atas laluan penuh Sepang. Gabungan 37 buah kereta daripada kelas Super Sporting, Sporting dan Rookie berkongsi litar. Perlumbaan yang lebih panjang serta trafik kenderaan yang padat menghalang ramai pendahulu carta juara daripada menambah kelebihan mata mereka.

Dalam Perlumbaan 1 Kelas Super Sporting, juara bertahan Freddie Ang memanfaatkan kelebihan petak pertama (pole position) untuk meraih kemenangan bagi Telagamas Toyota, menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 5.9 saat di hadapan Timothy Yeo, manakala bekas juara Mitchell Cheah melengkapkan podium di tempat ketiga.
Kelas Sporting dimenangi Elson Lew. Beliau meraih kemenangan untuk Hong Huat X Armada KK Racing dengan kelebihan 10.9 saat berbanding Taj Izrin Aiman. Aditya Patnaik dari India melengkapkan tiga pesaing teratas.
Di Kelas Rookie, Ethen Low yang berusia 16 tahun meneruskan prestasi cemerlangnya. Beliau memenangi Perlumbaan 1 dengan kelebihan besar 18.7 saat mengatasi Ervin Lim, dan Imran Iskandar menduduki tempat ketiga.

Perlumbaan 2 pada hari Ahad terbukti lebih penuh peristiwa. Kereta keselamatan dikerahkan sebanyak tiga kali berikutan kemalangan melibatkan Lim Chun Beng dan Sophia Zara, Hendra Ade Putra, kemudian Loke Yin Yi dan Ng Aik Sha. Perlumbaan akhirnya berakhir di belakang kereta keselamatan.
Bradley Benedict memanfaatkan sepenuhnya petak pertama untuk meraih kemenangan Kelas Super Sporting, meskipun kelebihan masa beliau kerap dihapuskan setiap kali kereta keselamatan keluar. Mitchell Cheah mendapat podium kedua hujung minggu ini di tempat kedua, manakala Kenneth Koh menduduki tempat ketiga.
"Saya mendapat permulaan yang baik dan hanya melakukan yang terbaik untuk menjarakkan jurang," kata Bradley.
“Kelebihan kemenangan mungkin sedikit, namun ia sudah cukup untuk memenangi perlumbaan.”

Di Kelas Sporting, Aditya Patnaik kekal tenang sepanjang gangguan perlumbaan dan memperoleh kemenangan dengan hanya kelebihan 0.3 saat berbanding Adam Mikail, sementara Ariff Azmi menduduki tempat ketiga. Keputusan ini juga menandakan podium kedua Patnaik dalam dua perlumbaan berturut-turut.
Ethen Low melengkapkan hujung minggu yang sempurna di Kelas Rookie dengan memenangi Perlumbaan 2 juga. Beliau mengalahkan Megat Damian dengan kelebihan 0.4 saat, manakala Ervin Lim sekali lagi menamatkan saingan di tempat ketiga.
Dengan tawaran wang tunai keseluruhan berjumlah RM876,000 musim ini, tumpuan kini beralih ke pusingan keempat dan terakhir Toyota Gazoo Racing Malaysia Vios Gold Championship yang dijadualkan pada Oktober ini, di mana juara keseluruhan musim 2026 bakal dinobatkan.