Bahasa Melayu
Ikuti kami
  • Facebook
  • YouTube
  • Instagram
  • TikTok
  • X
UtamaBerita2026 Volvo EX90 bakal dikemas kini di Malaysia: Sistem 800V hadir, pengecasan pantas DC sehingga 350 kW

2026 Volvo EX90 bakal dikemas kini di Malaysia: Sistem 800V hadir, pengecasan pantas DC sehingga 350 kW

Kongsi video

Hanya selepas lebih setahun membuat kemunculan sulung di Malaysia, Volvo EX90 bakal dikemas kini tidak lama lagi, susulan pengumuman Volvo Car Malaysia (VCM) bahawa SUV EV flagship berkenaan akan menerima kemas kini dalam masa terdekat.

Kemas kini tersebut merangkumi beberapa perincian, dengan ciri utamanya ialah seni bina elektrik 800-volt baharu. Ini merupakan peningkatan berbanding model pra-kemas kini yang menggunakan seni bina elektrik 400-volt.

Peningkatan voltan turut menaikkan kadar pengecasan pantas DC daripada 250 kW kepada 350 kW. Dengan pengecas DC yang serasi, 2026 Volvo EX90 boleh dicas dari 10% hingga 80% dalam masa 22 minit, 8 minit lebih cepat berbanding sebelumnya. Pengecasan pantas selama 10 minit mampu menambah jarak pemanduan sehingga 250 km.

Kapasiti bateri tidak berubah, 2026 Volvo EX90 dijangka mengekalkan pek bateri nikel kobalt mangan (NCM) 111 kWh (kapasiti bersih 107 kWh), dengan jarak pemanduan bertaraf WLTP sehingga 623 km.

Bagi varian Twin Motor Performance, 2026 Volvo EX90 menjana kuasa 500 kW (680 PS) serta tork 870 Nm, membolehkan SUV EV ini memecut dari 0‑100 km/j dalam masa hanya 4.2 saat. Kelajuan maksimum kenderaan dihadkan pada 180 km/j.

Selain seni bina elektrik baharu, 2026 Volvo EX90 turut dilengkapi komputer teras baharu yang dikuasakan oleh dua unit cip system‑on‑chip (SoC) nVidia Drive AGX Orin. Komputer teras ini memberikan kuasa pengkomputeran 500 TOPs (trilion operasi sesaat), untuk menggerakkan ciri‑ciri kecerdasan buatan (AI) serta sistem keselamatan kenderaan.

Perubahan utama terletak pada komponen dalaman kenderaan. Dari sudut penampilan luar, 2026 Volvo EX90 kekal sama seperti model terdahulu. Ia menampilkan sepasang lampu depan LED Iron Mark dengan DRL LED gaya piksel, gril hadapan tertutup, lampu belakang LED berbentuk‑C serta rim bersaiz 21‑inci.

Model 2026 Volvo EX90 yang dikemas kini juga dijangka dipasang secara tempatan (CKD). Semasa pelancarannya pada April 2025, unit ini diimport sepenuhnya (CBU) dari China. VCM sebelum ini menyatakan kerja‑kerja pemasangan CKD bakal bermula menjelang akhir tahun 2025.

Tambahkan bitauto. my sebagai sumber keutamaan di Carian Googletambah
Model Kereta Berkaitan
Semua Jenama
Kereta Popular
Barisan Jenama dan Model
Kembali ke Atas
Balasan