
Atlantis Automobili Sdn. Bhd., syarikat sekutu Atlantis Motor Group, telah dilantik menjadi pengimport dan pengedar rasmi Maserati untuk Malaysia, pelantikan berkuat kuasa mulai 19 Mei 2026.
Pelantikan ini menandakan lembaran baharu untuk jenama mewah Itali ini di Malaysia. Atlantis Automobili akan memikul tanggungjawab penuh operasi tempatan Maserati, meliputi jualan, perkhidmatan selepas jualan, pengalaman pelanggan, pembangunan jenama serta pengurusan rangkaian pengedar.

Syarikat itu menyatakan keutamaan segera adalah memastikan peralihan yang lancar bagi pemilik Maserati sedia ada, di mana sokongan perkhidmatan selepas jualan dan khidmat pelanggan yang tidak terputus akan kekal menjadi tumpuan utama operasi.
Maserati yang menyambut ulang tahun ke-100 logo Trident pada tahun 2026 terus berpegang pada identiti GranTurismo Itali, menggabungkan reka bentuk, keanggunan, prestasi, kemahiran pembuatan serta teknologi.

“Sebagai permulaan lembaran baharu yang menarik untuk Maserati di Malaysia, komitmen utama kami adalah kepada para pelanggan dan pemilik kenderaan,” kata Dato’ Douglas Cheng Heng Lee, Pengarah Eksekutif Atlantis Automobili Sdn. Bhd.
“Maserati merupakan jenama yang dibina di atas warisan, kemahiran pembuatan dan semangat. Kami sedar sepenuhnya tanggungjawab yang datang dengan mewakili jenama ikonik seperti ini. Tumpuan segera kami adalah memastikan pengalaman pemilikan yang lancar, seraya memperkukuh asas untuk menyokong jenama ini di Malaysia bagi jangka masa panjang.”
Sebagai sebahagian proses peralihan, Atlantis Automobili menjelaskan pemilik Maserati sedia ada akan terus menerima sokongan perkhidmatan selepas jualan dan khidmat pelanggan. Saluran komunikasi khusus juga disediakan untuk menjawab pertanyaan pelanggan dan menyampaikan kemas kini apabila perlu.
“Keutamaan kami adalah memastikan kepercayaan dan keyakinan setiap pemilik Maserati di Malaysia kekal terpelihara,” tambah Dato’ Douglas.
“Kami sedar pengalaman pemilikan melangkaui hanya kenderaan itu sahaja. Ia berkaitan hubungan, perkhidmatan serta keyakinan bahawa bantuan sentiasa ada apabila diperlukan. Kami komited memastikan setiap pelanggan menerima tahap layanan, perhatian dan kecekapan yang wajar untuk jenama berprestij seperti Maserati.”
Atlantis Automobili merupakan sebahagian daripada Atlantis Motor Group, sebuah kumpulan automotif serantau yang menyediakan penyelesaian mobiliti menyeluruh merentasi rantaian nilai industri automotif. Kumpulan ini memiliki pengalaman industri automotif selama beberapa dekad dan menyasarkan untuk menawarkan pengalaman pemilikan kelas atas selaras dengan standard Maserati.
Menurut Julie Taieb-Doutriaux, Ketua Maserati APAC, Malaysia kekal menjadi pasaran penting dalam rangkaian Asia Pasifik Maserati.
“Malaysia merupakan pasaran penting dalam rangkaian Asia Pasifik Maserati. Pelantikan Atlantis Automobili menandakan langkah penting untuk memperkukuh komitmen jangka panjang kami kepada pelanggan di negara ini,” katanya.
“Dalam usaha memperkukuh kehadiran Maserati di seluruh rantau ini, tumpuan kami bukan sahaja untuk mengembangkan jenama, malah memberikan pengalaman pemilikan yang mencerminkan kemahiran pembuatan, inovasi dan kemewahan Itali yang menjadi ciri Maserati sejak lebih satu abad lalu.”
“Dengan kepakaran automotif Atlantis Automobili yang terbukti dan pendekatan yang mengutamakan pelanggan, kami yakin pihaknya akan mempertingkatkan pengalaman Maserati untuk pemilik sedia ada dan bakal pemilik di Malaysia.”
Melihat ke masa hadapan, Atlantis Automobili merancang beberapa pelaburan strategik dan penambahbaikan untuk memperkukuh kehadiran Maserati di Malaysia.
Butiran lanjut berkaitan kemudahan baharu, inisiatif untuk pelanggan dan perkembangan lain akan diumumkan pada masa yang sesuai.
Maserati Malaysia turut menyatakan harapan untuk memperkenalkan barisan produk masa depan kepada para pelanggan di Malaysia.
beberapa bulan akan datang, pelanggan dan peminat Maserati boleh menjangkakan tumpuan yang lebih tertumpu kepada pengalaman pemilikan, perkhidmatan selepas jualan dan interaksi bersama komuniti Maserati tempatan.
Pihak Maserati Malaysia boleh dihubungi menerusi talian khidmat pelanggan +603 2110 2660 atau e-mel contact@atlantismotor.com.my. Laman web rasminya ialah maserati.com/my/.
Pihaknya mengendalikan dua kemudahan jualan dan perkhidmatan sementara. Cawangan Kuala Lumpur terletak di RS-G-02, Rhapsody Square, TREC 438, Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur. Sebuah lagi cawangan berada di 30, Jalan Pengacara U1/48, Kawasan Perindustrian Temasya, 40150 Shah Alam, Selangor.