
Potensi kerjasama antara Daihatsu dan Perodua dalam pembangunan kenderaan elektrik (EV) merupakan antara isu yang dibincangkan seiring dengan usaha Malaysia dan Jepun untuk memperkukuh kerjasama dalam industri strategik.
Perkara tersebut dibangkitkan semasa mesyuarat antara Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Naib Menteri Parlimen Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Takuo Komori, bersama delegasinya di Kuala Lumpur.
Menurut YB Datuk Seri Johari, perbincangan tersebut merangkumi peluang kerjasama antara Daihatsu dan Perodua dalam pembangunan EV di Malaysia. Bagaimanapun, tiada perincian mengenai model khusus, nilai pelaburan, garis masa pengeluaran atau kerjasama teknikal diumumkan.
Perbincangan sektor automotif ini hadir ketika Perodua sedang bersiap sedia untuk memperkenalkan barisan model dengan tahap elektrifikasi yang lebih tinggi, manakala Daihatsu kekal sebagai pakar kereta kompak yang penting di bawah Kumpulan Toyota. Justeru, sebarang kerjasama pada masa hadapan bakal memberi impak kepada segmen EV mampu milik di Malaysia, walaupun perinciannya masih belum dimuktamadkan.

Selain pembangunan automotif, kedua‑dua pihak turut membincangkan peluang melibatkan unsur nadir bumi (REE), serta minat Jepun untuk menyertai Grid Kuasa ASEAN.
YB Datuk Seri Johari berkata Malaysia menganggap Jepun sebagai rakan strategik dalam memperkukuh rantaian bekalan, membina keupayaan teknologi dan menarik pelaburan berkualiti tinggi.
Baca Juga: Harga Perodua QV-E Turun: Dari RM63,499, Pembelian Terus atau Langganan Bateri BaaS?
Beliau menyatakan bahawa Malaysia mahu hubungan dengan Jepun melepasi perdagangan dan pelaburan konvensional, sebaliknya beralih ke arah kerjasama industri yang melibatkan aktiviti nilai tambah, pemindahan teknologi serta peluang pekerjaan mahir.

Bagi Perodua, perkembangan paling penting adalah merujuk kepada potensi penglibatan Daihatsu dalam pembangunan EV. Pada peringkat ini, ia lebih wajar dilihat sebagai titik perbincangan dan bukannya pengesahan mengenai produk siap atau program rasmi.
Namun begitu, dengan galakan kerajaan Malaysia terhadap pembangunan EV tempatan serta kenderaan elektrik yang lebih mampu milik, kerjasama Daihatsu‑Perodua ini akhirnya boleh menjadi asas kepada penghasilan EV kompak yang sesuai untuk pasaran tempatan. Apa yang perlu diperhatikan sekarang adalah sama ada perbincangan awal ini bakal berkembang menjadi pengumuman rasmi.