
MG Malaysia telah mempamerkan MG ZS generasi kedua pada Kuala Lumpur International Mobility Show 2026 (KLIMS 2026) yang sedang berlangsung. Pameran ini menandakan kali kedua MG ZS dipertontonkan di sini, selepas kali pertama diperlihatkan dua tahun lalu pada acara yang sama.


Di peringkat serantau, Filipina dan Brunei telah melancarkan model ini dengan spesifikasi yang berbeza. Bagi pasaran Filipina, MG ZS ditawarkan dalam varian enjin aspirasi semula jadi, pengecas turbo dan hibrid, manakala pasaran Brunei hanya menerima model dengan enjin aspirasi semula jadi.

Varian yang dipamerkan di sini ialah Hybrid+, yang menggabungkan enjin petrol empat silinder 1.5 liter aspirasi semula jadi dengan transmisi hibrid khusus tiga kelajuan (3DHT).

Kuasa untuk motor elektrik dibekalkan oleh pek bateri litium-ion kecil berkapasiti 1.83 kWh.

Menurut MG, sistem gabungan tersebut menghasilkan output sebanyak 196 PS dan 465 Nm, sekali gus membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam tempoh 8.7 saat. Pada masa yang sama, penggunaan bahan api yang didakwa ialah 5.1 L/100 km mengikut kitaran WLTP.
Selepas MG ZS generasi kedua dipamerkan sebanyak dua kali, adakah pelancarannya akhirnya akan berlangsung dalam masa terdekat?