Pengeluar automotif dari China, Chery, telah memberikan petunjuk jelas mengenai pengembangan pasaran serantau selepas jenama kenderaan elektrik premiumnya, Luxeed, melancarkan akaun Instagram rasmi yang dikendalikan sepenuhnya dari Malaysia.

Pengeluar automotif lazimnya menyelaraskan aset digital global mereka dengan operasi serantau utama atau hab pembangunan masa depan. Sehingga kini, kandungan yang dikongsikan oleh akaun Luxeed turut mempromosikan model kenderaan untuk pasaran Timur Tengah.
Walau bagaimanapun, penempatan pengurusan media sosial antarabangsa Luxeed di bawah kendalian pasukan tempatan Malaysia memberi isyarat kuat bahawa model terbaru jenama ini dijangka memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi. Tambahan pula, portal automotif China CNEVpost melaporkan pada Januari 2026 bahawa Luxeed sedang membangun model versi pemanduan kanan (RHD) yang dijadualkan siap pada suku kedua tahun ini.
Luxeed S7 dipamerkan di Pameran Automotif Shanghai 2025
Luxeed merupakan jenama kenderaan elektrik premium hasil kerjasama strategik antara Chery Automobile dan syarikat teknologi terkenal Huawei. Jenama ini beroperasi di bawah payung Perikatan Mobiliti Pintar Harmony Huawei (HIMA).
Di bawah kerjasama ini, Chery bertanggungjawab membangun platform pengeluaran automotif, reka bentuk kejuruteraan serta kemudahan pengeluaran. Manakala Huawei menyediakan keseluruhan rangka teknologi pintar kenderaan termasuk pakej pemanduan autonomi canggih, sistem kokpit generasi terbaharu berasaskan ekosistem HarmonyOS, dan sistem pacuan elektrik.
Portfolio produk semasa Luxeed merangkumi sedan Luxeed S7 dan crossover fastback Luxeed R7. Kedua-duanya dibina pada platform voltan tinggi 800V dengan dua pilihan konfigurasi kuasa: motor tunggal pacuan belakang (RWD) 292 PS dan motor dwi pacuan semua roda (AWD) 496 PS.