Bahasa Melayu
Ikuti kami
  • Facebook
  • YouTube
  • Instagram
  • TikTok
  • X
UtamaBeritaHonda City Facelift 2026 Dilancarkan Di Thailand: Enjin 1.0T & 1.5L e:HEV, Harga Bermula Dari RM70k

Honda City Facelift 2026 Dilancarkan Di Thailand: Enjin 1.0T & 1.5L e:HEV, Harga Bermula Dari RM70k

Jun 26, 2026
Kongsi video

Model Honda City Facelift 2026 serba baru baru sahaja dilancarkan di Thailand sebentar tadi, menandakan kemunculan pertama model segmen-B popular ini untuk pasaran Asia Tenggara.

Ringkasan

Selepas pertama kali ditunjukkan di India kira-kira sebulan yang lalu, ini merupakan proses facelift kedua untuk Honda City generasi ketujuh (kod nama GN).

Untuk pasaran Thailand, model facelift ini mengekalkan dua pilihan rangkaian kuasa: VTEC Turbo dan hibrid e:HEV. Bagaimanapun, enjin Turbo kini hanya ditawarkan pada varian paling asas (entry-level), manakala tiga lagi varian di atasnya kini dikuasakan oleh sistem e:HEV.

Pilihan bentuk badan juga tidak berubah, masih mengekalkan versi sedan dan hatchback. Ini senarai harga yang ditawarkan:

Harga bermula daripada:

  • City 1.0 Turbo S: THB 569,000 (sekitar RM 70k)
  • City 1.5 e:HEV V: THB 619,000 (sekitar RM 76k)
  • City 1.5 e:HEV SV: THB 689,000 (sekitar RM 85k)
  • City 1.5 e:HEV RS: THB 739,000 (sekitar RM 91k)

Harga di atas adalah untuk varian sedan, manakala varian hatchback pula berharga THB 10,000 (sekitar RM 1.2k) lebih mahal. Harga kali ini dilihat sedikit lebih murah berbanding sebelum ini, namun Honda Thailand menyatakan yang harga tersebut sudah termasuk dengan diskaun pengenalan sebanyak THB 30,000.

Eksterior

e:HEV RS: Menerima gril hitam berkilat (glossy) rekaan baru, bampar depan dan belakang baru, side skirts, serta spoiler belakang gaya RS. Ia dipadankan dengan lampu depan LED jenis melintang penuh, lampu belakang LED dengan kanta jernih (clear lens), dan rim aloi dwi-warna berdiameter 16 inci dengan kemasan Berlina Black dan Dark Clear.

e:HEV SV: Membawa rekaan gril hitam dan bampar baru yang hampir sama, lampu depan melintang penuh, lampu belakang clear lens, serta rim aloi 16 inci dwi-warna dengan kemasan kelabu cerah.

e:HEV V: Dilengkapi gril hitam dan bampar rekaan baru, lampu depan LED, serta rim 16 inci dwi-warna berwarna kelabu.

Varian S (Paling Murah): Turut menerima rekaan gril hitam dan bampar baru yang dikemas kini.

Ada 7 pilihan warna luaran ditawarkan, termasuk dua warna baru iaitu Blazing Red Pearl dan Urban Gray Pearl yang eksklusif untuk varian e:HEV RS sahaja. Untuk City Hatchback e:HEV RS, ada tambahan pilihan warna dwi-ton Urban Gray Pearl dengan bumbung hitam.

Interior

e:HEV RS: Menggunakan tempat duduk material kulit hitam dan kulit sintetik dengan jahitan benang merah, kemasan papan pemuka (dashboard) hitam berkilat dan kelabu dengan corak 3D, serta lampu ambien (ambient lighting) berwarna merah.

e:HEV SV (Sedan): Menawarkan pilihan ruang dalaman berwarna Platinum Grey (khusus jika dipadankan dengan warna luar Meteoroid Grey Metallic atau Crystal Black Pearl), serta lampu ambien berwarna biru.

Enjin

VTEC Turbo (Varian S): Menggunakan enjin 1.0-litre 3-silinder turbo yang menghasilkan 122 PS dan tork 173 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik jenis CVT.

e:HEV Full Hybrid (Varian RS, SV, V): Menggunakan enjin 1.5-litre 4-silinder naturally-aspirated yang digabungkan dengan sistem hibrid dua motor Honda. Kuasa yang dihasilkan kekal sama iaitu 109 PS dan tork 253 Nm.

Semua varian spesifikasi Thailand ini juga menyokong penggunaan bahan api jenis E20.

Kelengkapan

e:HEV RS & SV: Dilengkapi dengan skrin sesentuh 10 inci berserta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta Sistem Kamera Pelbagai Pandangan (Multi-View Camera System). Varian RS mendapat tambahan pad pengecas peranti tanpa wayar dan cermin pandang belakang jenis auto-malap.

e:HEV V: Datang dengan skrin sesentuh 8 inci (Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar), paparan instrumen TFT 7 inci, ciri Walk Away Auto Lock, brek parkir elektrik (EPB), dan Auto Brake Hold.

Selain itu, sistem bantuan pemanduan Honda Sensing (ADAS) ditawarkan secara standard untuk semua varian, merangkumi ciri:

  • Collision Mitigation Brake Support (CMBS)
  • Lane Keep Assist System (LKAS)
  • Road Departure Mitigation with Lane Departure Warning (RDM with LDW)
  • Auto High Beam (AHB)
  • Adaptive Cruise Control (ACC)
  • Low Speed Follow (Khusus untuk varian e:HEV sahaja)
  • Lead Car Departure Notification (LCDN)

Kesimpulan

Memandangkan Thailand merupakan hub pengeluaran utama untuk pasaran rantau ini, rasanya cuma tunggu masa sahaja sebelum Honda City Facelift 2026 ini mendarat di pasaran Malaysia.

Sebagai rekod, harga Honda City sedia ada di Malaysia sekarang bermula dari RM 84,900 sehingga RM 99,900 untuk varian petrol, dan RM 111,900 untuk varian hibrid.

Kredit foto: Carsideteam

Model Kereta Berkaitan
Semua Jenama
Kereta Popular
Barisan Jenama dan Model
Kembali ke Atas
Balasan