
Suzuki e Vitara yang serba baharu telah dilancarkan buat pertama kali di Malaysia. Ini merupakan kereta elektrik berkuasa bateri pertama daripada jenama Suzuki yang dijual di negara kita.
e Vitara ditawarkan pada harga RM 188,000 atas jalan tanpa insurans, lebih murah RM 10,000 berbanding rakan sepasang Toyota Urban Cruiser, yang dijual di Malaysia bermula dari RM 198,000.

Menurut kepada Naza Eastern Motors, e Vitara hanya akan ditawarkan dalam kuantiti terhad pada peringkat awal, namun syarikat tidak mendedahkan jumlah unit yang diperuntukkan khusus untuk pasaran Malaysia.
SUV elektrik ini dibina di atas platform HEARTECT-e baharu Suzuki dan menggunakan motor elektrik yang dipasang di hadapan menghasilkan 128 kW, bersamaan dengan 174 PS, dan tork 193 Nm.

Daya diperoleh daripada bateri lithium besi fosfat berkapasiti 61 kWh, memberikan jarak perjalanan maksimum 426 km mengikut speksifikasi rasmi pengeluar. Bateri ini disokong sistem penyejukan cecair serta menyokong kedua-dua penyambungan pengecasan AC dan DC.
Suzuki menyatakan tempoh pengecasan pantas DC dari 10% ke 80% mengambil masa kira-kira 45 minit, manakala pengecasan penuh dari 10% ke 100% menggunakan pengecas AC 7 kW mengambil masa sekitar sembilan jam.
Tiga mod memandu yang boleh dipilih disediakan: Eco, Normal dan Sport.

Suzuki e Vitara berukuran panjang 4,275 mm, lebar 1,800 mm dan tinggi 1,635 mm, dengan jarak paksi 2,700 mm. Kompartmen bagasi menawarkan kapasiti sehingga 306 liter.
Model pasaran Malaysia menggunakan roda aloi 18 inci yang dilengkapi tayar 225/55.
Walaupun mempunyai hubungan erat dengan Toyota Urban Cruiser, e Vitara tampil dengan reka bentuk luaran yang eksklusif untuk Suzuki. Rekaan kenderaan ini diilhamkan oleh tema jenama “Teknologi Tinggi dan Petualangan”(“High-Tech & Adventure”), menampilkan lengkung pelindung roda yang menonjol, gril hadapan berbentuk heksagon serta elemen lampu tiga titik yang unik.

Lima warna luaran tersedia:
Di bahagian dalaman, e Vitara dilengkapi paparan instrumen dan infotainmen bersepadu, stereng dua jejari serta konsol tengah terapung yang dilengkapi sistem kawalan pemindahan transmisi shift-by-wire.
Perkakasan tambahan termasuk fungsi pengecasan tanpa wayar untuk telefon pintar, port USB-A dan USB-C di bahagian hadapan dan belakang kabin, lampu ambien, tempat letak tangan tengah belakang serta tempat duduk belakang boleh laras konfigurasi.

Kabin menggunakan kombinasi jersi Melange, kulit sintetik berliang dan kulit sintetik coklat, bersama trim hitam piano dan perak gelap.

Peralatan keselamatan dan bantuan pemandu merangkumi Dual Sensor Brake Support II untuk fungsi brek kecemasan autonomi, kawalan kelajuan adaptif, bantuan pengekalan lorong, pencegahan keluar lorong dan pengesan titik buta.
Kereta ini turut dilengkapi amaran trafik silang belakang, lampu tinggi adaptif, sistem brek pelanggaran berbilang dan kamera 360 darjah untuk seluruh badan kenderaan.

Model e Vitara disokong dengan waranti kenderaan 5 tahun tanpa had kilometer, waranti komponen BEV selama 5 tahun atau 100,000 km, serta waranti bateri selama 8 tahun atau 160,000 km.
10 pelanggan pertama yang membuat tempahan akan menikmati perkhidmatan pengecasan EV percuma selama 5 tahun di pusat jualan Suzuki terpilih, tertakluk kepada terma dan syarat.
Buat masa ini, Suzuki mempunyai 14 kedai jualan dan 13 pusat servis seluruh Malaysia.

Selain pelancaran model e Vitara baharu, Naza Eastern Motors turut mengumumkan peningkatan waranti rasmi untuk model terpilih Suzuki. Polisi baharu iaitu waranti 5 tahun tanpa had kilometer menggantikan skop perlindungan lama selama 3 tahun atau 100,000 km.
Waranti yang dikemaskini ini melibatkan model Jimny AllGrip Plus, Jimny Rhino Plus, Fronx dan Fronx Sport.