
Model BYD Yuan Up, atau lebih dikenali sebagai BYD Atto 2 untuk pasaran luar negara China, bakal menerima kemas kini terbaru yang menawarkan jarak pemanduan lebih jauh serta penambahan kelengkapan spec yang lebih menarik.
Bermula dengan rekaan luaran yang diberi nafas baru, sumber dari China mendedahkan bahawa Atto 2 versi facelift ini akan menerima elemen lampu LED menegak jenis matrix di dalam lampu utamanya. Selain itu, kedudukan port pengecasan juga telah dialihkan dari bahagian fender depan ke bahagian belakang, memberikan bayangan awal tentang perubahan pada sistem rangkaian kuasanya.

Sangkaan itu ternyata betul—motor elektrik yang sebelum ini dipasang di bahagian depan kini telah dialihkan ke bahagian belakang (RWD). Langkah ini menyamai konfigurasi yang ada pada abangnya yang lebih besar, iaitu Atto 3.

Untuk pasaran China, kuasa output bagi Yuan Up adalah di antara 100 kW (136 PS) hingga 120 kW (163 PS). Ia dikuasakan oleh dua pilihan bateri: 42.313 kWh dan 52.468 kWh. Pek bateri yang kedua itu merupakan unit baru yang lebih besar, sekali gus membolehkan kereta ini mencapai jarak pemanduan sehingga 505 km mengikut kitaran ujian CLTC.

Selain rekaan luaran yang diubah suai sedikit, dokumen daripada Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China turut mendedahkan bahawa Atto 2 versi baru ini boleh ditempah bersama penderia (sensor) LiDAR yang dipasang pada bahagian bumbung. Ciri ini pastinya akan meningkatkan lagi keupayaan sistem bantuan pemanduan ADAS model tersebut.
Untuk pasaran tempatan, varian tunggal BYD Atto 2 yang dijual sekarang ditawarkan pada harga RM 100,000. Ia dikuasakan oleh motor elektrik pacuan roda hadapan (FWD) yang menghasilkan 177 PS dan tork 290 Nm, serta menggunakan pek bateri berkapasiti 51.13-kWh.