
Toyota Innova Hycross (Zenix) Facelift Dikesan Diuji di India; Gambar via GaadiWaadi
Toyota telah memulakan ujian jalan untuk model Innova Hycross facelift di India, dengan gambar intip pertama dibongarkan oleh portal automotif GaadiWaadi. Nama Hycross digunakan khusus untuk pasaran India, manakala di Malaysia, model ini dikenali sebagai Toyota Innova Zenix. Justeru, sebarang peningkatan yang diperkenalkan pada versi India berkemungkinan besar akan dibawa masuk ke pasaran tempatan.
Unit prototaip ujian ini dilitupi pelekat penyamaran tebal, namun petunjuk jelas menunjukkan MPV tiga baris ini menerima kemas kini pertengahan hayat (mid-life facelift). Bahagian hadapan dijangka tampil dengan reka bentuk gril baharu, bemper hadapan yang dirombak, lampu utama LED yang lebih ramping serta corak lampu siang hari (DRL) yang baharu. Bahagian bonnet turut menerima penyesuaian halus, namun dimensi dan nisbah badan kenderaan secara keseluruhan dijangka kekal tidak berubah.

Dari sudut pandangan sisi, profil MPV Innova yang ikonik dikekalkan sepenuhnya, termasuk garisan tingkap dan susun atur rel bumbung. Elemen seperti pemegang pintu dan cermin sisi tidak menerima perubahan, manakala prototaip juga menggunakan reka bentuk rim aloi yang sama dengan model sedia ada.
Bahagian belakang juga dilitupi pelekat penyamaran, namun perubahan dijangka berlaku di situ. Ini mungkin termasuk lampu belakang LED yang dikemaskini dengan corak pencahayaan dalaman baharu, bemper belakang yang direka semula, serta hiasan baharu yang boleh membezakan model facelift daripada versi sedia ada.
Sementara itu, perubahan di dalam kabin dijangka lebih tertumpu pada peningkatan kelengkapan dan kualiti bahan, berbanding perombakan reka bentuk dalaman secara menyeluruh. Varian tinggi kemungkinan akan menerima sistem infotainment yang dikemaskini, kluster instrumen yang diperbaiki, pelapik tempat duduk (upholstery) baharu, lebih banyak bahan sentuhan lembut (soft-touch) serta fungsi kenderaan bersambung (connected car) tambahan.

Innova Zenix versi semasa masih dijual secara aktif di Malaysia.
Sehingga kini, Toyota Malaysia masih belum mengumumkan tarikh pelancaran rasmi untuk model Innova Zenix facelift. Walau bagaimanapun, sekiranya peningkatan versi India ini dibawa masuk ke pasaran tempatan, pembeli bakal mendapat penampilan luaran yang lebih tajam, sistem pencahayaan moden serta penambahbaikan dalaman yang lebih baik, sambil mengekalkan formula MPV hibrid yang praktikal dan mesra kegunaan keluarga.