
Toyota dan BMW telah memulakan projek perintis selama enam bulan di Sepanyol untuk menguji petrol 100% boleh diperbaharui dalam pemanduan harian, sekali gus menandakan antara usaha industri paling nyata setakat ini dalam mengkaji bahan api cecair rendah karbon sebagai alternatif praktikal untuk mengurangkan pelepasan emisi.
Program ini menggabungkan Toyota, BMW, syarikat tenaga Sepanyol Repsol dan Bosch, di mana rakan kerjasama ini menyasarkan untuk mengumpul data dunia nyata mengenai prestasi petrol boleh diperbaharui dalam pemanduan harian.
Ujian ini penting kerana ia tidak tertumpu pada trenkuasa baharu mahupun prototaip khas. Sebaliknya, ia menggunakan kenderaan yang sedia ada di jalan raya serta bahan api yang serasi secara kimia dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) konvensional.

Bahan api Repsol untuk ujian ini ialah Nexa 95, iaitu petrol 100 peratus boleh diperbaharui yang dihasilkan daripada bahan mentah yang mematuhi Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (Renewable Energy Directive). Repsol menyatakan bahawa bahan api tersebut mampu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau berbanding petrol biasa.
Berbeza dengan kebanyakan strategi bahan api alternatif yang memerlukan kenderaan baharu atau perubahan infrastruktur yang besar, petrol boleh diperbaharui boleh digunakan terus pada kereta petrol standard dan diisi di stesen minyak sedia ada. Ini menjadikannya menarik untuk pelaksanaan segera sekiranya data pengurangan emisi dan rantaian bekalan terbukti cukup kukuh.
Bahan api tersebut sudah pun dijual secara komersial di Sepanyol, yang mana sumber menyifatkannya sebagai satu-satunya pasaran di mana pengguna biasa boleh membeli petrol boleh diperbaharui jenis ini buat masa sekarang.
Bagi projek perintis ini, sebanyak 20 unit kenderaan Toyota dan BMW akan digunakan di jalan raya Sepanyol dalam tempoh enam bulan akan datang. Repsol akan membekalkan bahan api tersebut, manakala Bosch akan menyediakan sistem penjejakan bahan api digital bagi mengesahkan penggunaan bahan api boleh diperbaharui itu sepanjang keseluruhan kitaran hayatnya.
Rakan kerjasama tersebut menyatakan bahawa matlamat utama adalah untuk menjana data operasi yang kredibel bagi membuktikan sama ada petrol boleh diperbaharui boleh digunakan secara meluas hari ini dengan menggunakan kenderaan dan infrastruktur pengisian sedia ada.

Bukan kali pertama Toyota dan BMW bekerjasama. Kelihatan di sini ialah iX5 Hydrogen, yang memanfaatkan kepakaran daripada Toyota Mirai. Ia dijangka mula dijual pada tahun 2028.
Hujah tersebut sangat penting dalam perdebatan penyahkarbonan yang lebih luas, memandangkan kenderaan elektrik bateri (BEV) kini menjadi jalan penyelesaian jangka panjang yang dominan, namun ia bukanlah satu-satunya laluan yang sedang diterokai oleh pengeluar dan syarikat tenaga.
Hasil penemuan daripada program ini dijangka akan dikongsi dengan penggubal dasar Kesatuan Eropah (EU) serta industri automotif secara meluas, dengan harapan ia dapat menyokong perbincangan lanjut mengenai Kenderaan yang Beroperasi Secara Eksklusif menggunakan Bahan Api Layak (VEEF) di bawah undang-undang kelestarian EU.
Langkah ini turut memperlihatkan bagaimana Toyota dan BMW terus mengekalkan pendekatan pelbagai laluan (multi-pathway) dalam strategi pelepasan emisi mereka, termasuk teknologi yang boleh diserasikan dengan kumpulan kenderaan global (vehicle parc) sedia ada di jalan raya, berbanding menunggu penggantian armada secara menyeluruh.