
Karrus Automotive Group (KAG) telah dilantik sebagai pengedar eksklusif Meguiar's di Malaysia, Singapura dan Brunei, menandakan pengembangan terbaharu kumpulan automotif tersebut melangkaui jualan dan selepas jualan kenderaan ke dalam segmen penjagaan automotif.
Diasaskan pada tahun 1901, Meguiar's merupakan antara jenama detailing automotif paling terkenal di dunia, menawarkan pelbagai rangkaian produk penjagaan kenderaan termasuk syampu kereta, wax, ceramic coating, sebatian pembaikan cat, pembersih ruang dalaman dan penyelesaian detailing profesional. Syarikat ini menyambut ulang tahun ke-125 pada tahun ini dan menjadi sebahagian daripada portfolio Auto Care 3M sejak 2008.

Berdasarkan perjanjian yang dicapai, KAG akan menguruskan pengedaran, pemasaran dan pembangunan rangkaian produk Meguiar’s untuk pengguna biasa, peminat kereta dan pakar profesional di ketiga-tiga negara berkenaan. Kumpulan ini juga merancang untuk meluaskan saluran runcit, memperkukuh kerjasama dengan perniagaan detailing, memperkenalkan program latihan teknikal bertauliah dan meningkatkan interaksi komuniti melalui acara peminat serta kerjasama strategik.
"Kami amat berbesar hati dan bangga dilantik sebagai pengedar eksklusif Meguiar's bagi Malaysia, Singapura dan Brunei," kata Reza Mutalib, Pengarah Eksekutif Karrus Automotive Group.
Beliau menambah bahawa KAG menyasarkan untuk menjadikan jenama tersebut lebih mudah diakses oleh pemilik kenderaan harian, peminat dan detailer profesional, di samping memperluas kehadirannya melalui rangkaian runcit dan pengedaran yang lebih luas, kerjasama strategik serta inisiatif latihan profesional.

Menurut KAG, beberapa inisiatif akan dilaksanakan menjelang pelancaran rasmi serantau Meguiar's di LuftWasser 2026 di Malaysia. Ini termasuk memperluas rangkaian pengedar sahnya, membangunkan konsep runcit khusus Meguiar's, melancarkan program detailing bertauliah serta menjalankan kempen pemasaran serantau.
Karrus Automotive Group ditubuhkan pada tahun 2018 dan kini menjalankan perniagaan runcit kenderaan, perkhidmatan selepas jualan serta import kenderaan khusus. Portfolio jenama yang dikendalikan terdiri daripada Lotus, Zeekr, Hyundai, Subaru, GWM dan iCAUR. Bahagian Karrus Private Garage pula menumpukan kepada kenderaan terpakai dan kenderaan istimewa. Kemasukan Meguiar's terus memperluas ekosistem automotif kumpulan ini, melangkaui penjualan kenderaan ke arah produk dan perkhidmatan penjagaan kereta premium.