
smart telah mendedahkan imej ujian rasmi versi pengeluaran #2 di China, memberikan gambaran paling jelas setakat ini mengenai kereta elektrik ultra-kompak seterusnya daripada jenama itu sebelum pelancaran dunia di Pameran Kereta Paris pada bulan Oktober nanti.
smart #2 dibangunkan menggunakan seni bina baharu yang dibangunkan oleh pasukan dalaman smart khusus untuk kenderaan ultra-kompak. Pihak smart menyatakan bahawa reka bentuk badan dan dimensinya direka berasaskan pakej elektrik tulen, bukannya diubahsuai daripada platform enjin pembakaran sedia ada.
Dari segi luaran, prototaip pengeluaran ini mengekalkan rekaan hadapan tertutup, susun atur lampu utama jenis terpisah dan kesan bumbung terapung (floating roof). Corak lampu juga kelihatan lebih moden berbanding model fortwo klasik, dengan lampu siang hari dan lampu utama disusun untuk memberikan rupa yang lebih teknikal.
Dengan panjang hanya 2.79 meter, #2 kekal dalam segmen kereta mikro. smart juga mengekalkan rekaan tradisi “empat roda di setiap sudut”, yang membantu memaksimumkan ruang dalaman dalam saiz fizikal yang kompak itu.

Di bahagian belakang, ia menggunakan lampu belakang bulat yang sepadan dengan reka bentuk lampu hadapan. Ciri yang merujuk kepada bahasa rekaan awal jenama itu bertujuan untuk memastikan model baharu ini mudah dikenali serta-merta, walaupun telah dilengkapi dengan peranti elektrik moden yang dikemaskini.
Menurut maklumat yang didedahkan setakat ini, varian pertama yang akan memasuki pasaran ialah versi hardtop dua pintu. Versi boleh buka(convertible) juga sedang dipertimbangkan untuk pasaran masa hadapan, bagi meluaskan daya tarikan model ini di pasaran yang masih menerima kereta bandar bumbung terbuka(open-top).
Keupayaan pengecasan juga menjadi tarikan utama. Pihak smart mengesahkan kenderaan ini menyokong pengecasan pantas DC, dengan masa pengecasan 10% hingga 80% hanya mengambil masa 20 minit. smart #2 turut dilengkapi fungsi Vehicle-to-Load (V2L), membolehkan kenderaan membekalkan kuasa kepada peranti luaran semasa diparkir.

Pelancaran di Paris sangat penting kerana ia akan mendedahkan spesifikasi pengeluaran muktamad, kedudukan pasaran serta strategi jualan sebenar untuk salah satu model kereta kecil terpenting dalam barisan produk smart. Buat masa ini, kenderaan ujian menunjukkan jenama berusaha mengekalkan identiti klasik fortwo, sambil memastikannya relevan dengan pasaran EV moden masa kini.