
Mercedes-AMG telah membuka tempahan untuk Final Edition bagi A45S 4MATIC+ di Jerman. Ia menawarkan pakej peningkatan rupa dan kelengkapan khas sebagai tanda perpisahan untuk hot hatch generasi W177. Model istimewa ini kini boleh ditempah dengan butiran eksklusif edisi pada bahagian dalaman dan luaran kenderaan.
Final Edition diposisikan sebagai versi A45S 4MATIC+ dengan spesifikasi yang lebih lengkap. Harganya bergantung pada kelengkapan yang dipilih. Menurut Mercedes-AMG, pakej kelengkapan tambahan ini ditawarkan pada harga bermula €5,105.00 (~RM26k) sebelum VAT, atau €6,074.95 (~RM31k) termasuk VAT.
Bagi pembeli yang menambah AMG Aerodynamics Package dan grafik pintu “45S” yang besar, caj tambahan meningkat kepada €8,480.00 (~RM44k) tanpa VAT, atau €10,091.20 (~RM52k) termasuk VAT. Pakej ini ditawarkan sebagai sebahagian daripada tema reka bentuk luaran Final Edition yang lebih agresif.

Pilihan warna luaran terhad kepada MANUFAKTUR mountain grey magno atau jet black bukan metalik. Kedua-dua versi didatangkan dengan pemegang pintu Dark Chrome sebagai ciri khas model istimewa ini.
Mercedes-AMG turut memadankan rim forged 19-inci hitam matte dengan rekaan jejari silang (cross-spoke), bersama penutup pusat rim khas edisi ini yang menampilkan logo AMG berwarna kuning. Angkup brek pula dikemaskan dengan warna hitam berkilat dengan tulisan AMG putih, manakala penutup tangki bahan api dihiasi krom perak dengan perincian hitam.

Grafik pilihan memberikan keunikan tersendiri. Pintu hadapan boleh dipadankan dengan tulisan “45S” yang besar dalam warna kuning dan hitam dengan garisan luar putih, manakala perumah cermin sisi menerima corak berlian hitam khas AMG dengan kemasan tepi kuning. Perincian kuning tambahan turut digunakan di seluruh bahagian luaran.
Final Edition merangkumi AMG Night Package secara standard, membawakan elemen luaran hitam berkilat (high-gloss black) seperti perumah cermin sisi dan jalur kemasan. Kemasan paip ekzos krom gelap direka untuk dipadankan dengan kemasan gelap tersebut. AMG Night Package II turut disertakan, menambah perincian krom gelap pada bilah gril dan lencana model.
Mercedes-AMG turut menawarkan Pakej Aerodinamik AMG untuk Final Edition. Diuji dalam terowong angin (wind tunnel), ia menampilkan apron bahagian hadapan dengan splitter depan yang lebih besar serta flicks, spoiler bumbung, sirip sisi penyekat aliran udara dan penyebar aliran udara (diffuser), yang kesemuanya dikemaskan dengan kemasan warna hitam berkilat tinggi bagi menyerlahkan lagi penampilan berorientasikan litar.
Di dalam kabin, model khas ini membawakan tema kemasan kuning yang serupa. Tempat duduk AMG Performance dibalut kulit buatan ARTICO hitam dan gentian mikro MICROCUT, dengan jahitan kontras kuning pada tempat duduk dan panel pintu, serta sulaman logo “45S” pada penyandar kepala bahagian hadapan.

Butiran dalaman lain termasuk lencana “45S Final Edition” pada konsol tengah, roda stereng AMG Performance dalam kulit Nappa dan gentian mikro MICROCUT dengan jahitan kuning, kemasan aluminium dengan grafik corak AMG, plat ambang pintu AMG bercahaya dan karpet lantai AMG dengan tulisan “45 S”. Ruang kabin ini direka untuk menonjolkan status eksklusif edisi ini tanpa melibatkan sebarang perubahan pada perkakasan prestasi.
Dari segi mekanikal, tiada perubahan pada A45S 4MATIC+. Ia kekal menggunakan enjin 2.0 liter turbo empat silinder M139 AMG yang menghasilkan 310 kW (421 PS) dan 500 Nm, dipadankan dengan transmisi dwi-klac lapan kelajuan AMG SPEEDSHIFT DCT-8G serta sistem pacuan semua roda (AWD) AMG Performance 4MATIC+ pembolehubah sepenuhnya dengan AMG Torque Control.
Pihak Mercedes-AMG menyatakan kenderaan ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 270 km/j yang dihadkan secara elektronik. Jenama ini terus menggambarkan enjin M139 sebagai enjin empat silinder turbo pengeluaran siri paling berkuasa di dunia setakat ini.
Kadar penggunaan bahan api yang dicatatkan untuk A45S 4MATIC+ adalah sekitar 9.2–9.0 l/100 km (gabungan) dengan kadar pelepasan CO₂ sebanyak 209–205 g/km. Angka ini meletakkan kenderaan dalam kelas CO₂ G2 di bawah kitaran ujian WLTP.
Di Malaysia, Mercedes-AMG A45S 4MATIC+ standard ditawarkan pada harga RM530,888.