

Tempahan Q9 dijadualkan dibuka di Jerman pada akhir Julai 2026, dan penghantaran dijangka bermula pada suku keempat. Harga permulaan varian Q9 TDI 220 kW ialah EUR 108,400 (~RM505k), yang meletakkannya kukuh dalam segmen teratas SUV mewah.


Pihak Audi menyatakan bahawa Q9 direka untuk memacu jenama itu lebih jauh ke arah hala tuju “ruang kehidupan mudah alih” (mobile living space), dengan kabin menjadi tarikan utama kenderaan dan bukan sekadar ruang tempat duduk. Strategi ini dicerminkan menerusi susun atur tempat duduk, bahan kemasan dalaman serta pelbagai kelengkapan yang direka khusus untuk keutamaan keselesaan.

Q9 didatangkan secara standard dengan tujuh tempat duduk. Dalam konfigurasi ini, ketiga-ketiga kerusi baris kedua dilengkapi titik pemasangan Isofix, menjadikannya SUV lebih mesra keluarga berbanding pesaing mewah. Pembeli boleh memilih susun atur enam kerusi, iaitu menggantikan kerusi bangku baris kedua dengan dua kerusi individu untuk mewujudkan kabin gaya kelas perniagaan.

Pihak Audi turut melengkapkan kesemua kerusi dengan fungsi elektrik. Varian enam kerusi menampilkan kerusi boleh laras kuasa separa; dua kerusi individu baris kedua boleh dilaraskan secara elektrik serta disediakan pilihan pemanas. Di bahagian hadapan, sports seats plus boleh ditempah dengan fungsi pengudaraan dan urutan. Sebahagian kerusi termasuk baris ketiga turut mempunyai fungsi lipatan elektrik.

Antara ciri baharu yang paling menarik perhatian ialah pintu automatik; ciri yang diperkenalkan Audi buat pertama kali menerusi model ini. Pintu boleh dibuka dan ditutup melalui pelbagai titik kawalan serta aplikasi myAudi. Penderia sekeliling mengesan halangan, sementara fungsi soft-close memastikan pintu tertutup dengan lancar. Pihak Audi menjelaskan sistem ini dibangunkan untuk meningkatkan kemudahan dan keselamatan ketika masuk dan keluar kenderaan.

Q9 turut dibekalkan dengan bumbung suria panoramik terbesar Audi setakat ini. Bumbung standard ini menampilkan panel kaca berukuran lebih 1.5 meter persegi yang boleh menggelongsor atau disengetkan untuk dibuka. Mengikut spesifikasi, ia boleh ditempah dengan ciri ketelusan boleh ubah (switchable transparency). Varian yang lebih tinggi turut menawarkan fungsi pencahayaan pada bumbung kaca, yang boleh diselaraskan bersama tema lampu ambien pilihan.

Berukuran 5.31m panjang, 2.21m lebar, 1.81m tinggi dengan jarak roda 3.14m, Q9 merupakan model pengeluaran terbesar Audi secara rasmi. Rupa luaran terdapat dua gaya iaitu Advanced dan S line; varian Advanced menggunakan palang gril menegak, manakala S line tampil dengan penampilan lebih sporty. Pembeli boleh memilih rim berukuran 20 sehingga 23 inci.

Sistem pencahayaan adalah satu lagi medan Audi memperkenalkan teknologi baharu menerusi Q9. Bahagian belakang menampilkan lampu OLED digital generasi ketiga, termasuk panel OLED luar melengkung. Pihak Audi mengesahkan ia merupakan yang pertama di dunia untuk kenderaan pengeluaran. Jalur lampu mendatar berterusan menghubungkan lampu belakang, sementara bahagian hadapan boleh ditempah dengan gril Singleframe bercahaya.

Jenama ini melengkapkan Q9 dengan enjin diesel 3.0 liter V6 semasa pelancaran. Di Jerman, varian Q9 TDI 220 kW menghasilkan 220 kW (299 PS) dan tork 630 Nm, dibekalkan dengan sistem hibrid ringan MHEV plus, pemampat elektrik serta kotak gear automatik tiptronic lapan kelajuan. Sistem pacuan semua roda quattro (AWD) disediakan secara standard. Pihak Audi menjelaskan sistem hibrid ringan ini mampu memberikan bantuan kuasa tambahan sehingga 18 kW (24 PS).
Di pasaran Eropah terpilih, Audi juga akan menawarkan versi output lebih rendah dengan 180 kW (245 PS) dan tork 500 Nm. Penggunaan bahan api bagi Q9 TDI 220 kW dicatatkan pada 8.0–7.4 L/100 km, dengan pelepasan CO2 sebanyak 209–194 g/km, berdasarkan data ujian rasmi jenama berkenaan.

Di bahagian dalaman, Audi memberi penekanan terhadap kualiti bahan, ruang simpanan dan kelengkapan digital. Q9 menawarkan upholsteri premium, kemasan kayu serta tekstil, pengecasan tanpa wayar Qi2.2 untuk dua telefon pintar. Ia turut disediakan port USB-C pengecasan pantas dengan kuasa sehingga 60W di hadapan, 100W di baris kedua dan 45W di baris ketiga. Sistem audio premium Bang & Olufsen 4D dengan 22 pembesar suara dan kuasa 1,360 watt juga boleh dipilih.




Bagi petak bagasi, SUV ini dibekalkan secara standard dengan rel aluminium di dalam but untuk mengamankan barang dari pelbagai arah. Dengan saiz yang luas, fleksibiliti susun atur kerusi dan kelengkapan premium, Q9 disasarkan khas kepada pembeli yang inginkan SUV mewah bersaiz besar. Model ini menumpukan lebih perhatian terhadap ruang serta keselesaan kerusi belakang berbanding model sedia ada dalam barisan jenama.