Pengedar rasmi kenderaan Toyota di Malaysia, UMW Toyota Motor (UMWT), hari ini mengumumkan prestasi jualan bagi Mac 2026. Syarikat itu berjaya menyerahkan sebanyak 5,814 unit kenderaan bulan lalu, mengatasi volum jualan Januari dan Februari, sekali gus mencatatkan pertumbuhan berturut-turut untuk dua bulan pertama tahun ini.
Dengan pengumuman data Mac, jumlah jualan terkumpul UMW Toyota bagi suku pertama (Q1) 2026 kini mencecah 15,370 unit.

Walaupun berdepan persaingan sengit, UMW Toyota menegaskan kedudukannya sebagai jenama automotif bukan nasional nombor satu di Malaysia. Menurut syarikat itu, kejayaan ini didorong oleh barisan produk yang mengimbangi "kebolehgunaan harian, kecekapan, dan nilai pemilikan jangka panjang" yang diyakini pengguna tempatan.
Berdasarkan data pendaftaran kenderaan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebanyak 8,617 kenderaan Toyota telah didaftarkan bulan lalu, manakala jumlah keseluruhan bagi Q1 mencapai 22,208 unit. Berdasarkan perbezaan data tersebut, dianggarkan sebanyak 6,838 unit telah didaftarkan melalui saluran bukan rasmi UMWT bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Bagi merealisasikan visi transformasi, UMW Toyota mencapai mercu jaya penting bulan ini dengan memperkenalkan tiga kenderaan elektrik bateri (BEV) bagi memperluaskan lagi rangkaian tenaga baharu mereka:
bZ4X: SUV elektrik penuh strategik global Toyota.
Hilux EV: Versi elektrik bagi trak pikap ikonik, mensasarkan segmen komersial dan gaya hidup premium.
Urban Cruiser BEV: SUV elektrik penuh yang direka untuk gaya hidup bandar.
Kehadiran model BEV ini, bersama-sama Harrier HEV dan Vellfire HEV yang dilancarkan sebelum ini, mempamerkan strategi "Multi-Pathway" UMW Toyota dalam menawarkan penyelesaian hibrid (HEV) dan elektrik penuh (BEV) bagi memenuhi keperluan pelanggan yang pelbagai.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K., dalam satu kenyataan berkata, pendekatan Toyota terhadap elektrifikasi adalah berdasarkan pemahaman mendalam tentang cara kenderaan digunakan di pasaran berbeza. Beliau menyatakan bahawa peralihan ke arah mobiliti rendah pelepasan karbon harus mencerminkan penggunaan praktikal kenderaan mengikut konteks tempatan.
"Bagi Malaysia, mobiliti membawa kepentingan ekonomi dan sosial. Kenderaan di sini menyokong lebih daripada sekadar perjalanan bandar; ia menghubungkan komuniti merentasi jarak jauh dan menyokong industri yang bergantung kepada pengangkutan yang boleh dipercayai sebagai alat produktiviti penting," katanya.
Beliau menegaskan: "Mobiliti elektrik mestilah diperkenalkan pada masa yang tepat, dengan cara yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Malaysia serta menyokong pergerakan harian orang ramai dan industri."