
Adakah kita sedang menyaksikan kebangkitan semula populariti kenderaan pelbagai guna (MPV)? Ini adalah Leapmotor D99 2026, model MPV pertama yang dihasilkan oleh syarikat tersebut.

Syarikat yang berpangkalan di Zhejiang ini mungkin baru dalam segmen MPV, tetapi mereka sudah membuat kajian mendalam ketika membangunkan D99. Ini kerana dalam pasaran domestik di China, MPV sering dianggap sebagai "rumah kedua".
Fokus utama ruang dalaman Leapmotor D99 adalah keluasan. Panjang ruang kabin yang boleh digunakan mencecah 3,663 mm, sekali gus menawarkan ruang yang lebih luas berbanding 91.3% pesaing dalam segmen yang sama. Selain itu, ia juga menyediakan laluan tengah (centre passthrough) selebar 180 mm di antara tempat duduk baris kedua.
Bercakap tentang tempat duduk baris kedua, ia dilengkapi dengan kerusi zero gravity 124 darjah, fungsi urutan 10-titik, sistem pengudaraan pada penyandar belakang, serta fungsi pemanas pada penyandar tangan dan tempat letak kaki (ottoman). Menariknya, kerusi baris kedua ini boleh diputar 180 darjah untuk menghadap penumpang di baris ketiga.


Untuk ruang kargo pula, Leapmotor D99 menawarkan kapasiti sebanyak 706 liter, yang didakwa cukup untuk membawa tujuh penumpang bersama 10 beg pakaian. Kabin kereta ini juga dilengkapi dengan 43 ruang penyimpanan barang serta beberapa port pengecasan di merata tempat.

Bagi penumpang di baris hadapan, kedua-dua tempat duduk dilengkapi fungsi pemanas, pengudaraan, dan urutan 10-titik. Kerusi hadapan ini menggunakan span elastik setebal 20 mm dengan struktur tempat duduk mewah 12-lapisan.
Dari segi pemanduan, D99 dilengkapi dengan sistem suspensi udara dwi-kebuk (dual-chamber air suspension) yang disokong oleh sistem LMC Integrated Motion Control 2.0 binaan Leapmotor sendiri.
Untuk pasaran China, dua pilihan rangkaian kuasa (powertrain) ditawarkan: varian EV penuh dan varian range-extender EV (REEV).


Di China, harga jualan bermula dari CNY 249,800 (sekitar RM151k) untuk varian EV, manakala varian REEV pula bermula dari CNY 259,800 (sekitar RM157k).
Buat masa ini, masih terlalu awal untuk mengesahkan sama ada Leapmotor D99 akan dibawa masuk ke Malaysia. Namun, ia pastinya akan menjadi pilihan yang menarik jika bersaing dengan MPV China yang lain seperti Denza D9, Zeekr 009, dan GWM Wey G9.