
SINGAPURA — Proton kini melebarkan sayap ke Selatan! Pengedar rasmi Proton di Singapura, Vincar Group, telah melancarkan varian baharu Proton eMas 5 2026 di negara jiran, menandakan satu lagi langkah strategik jenama nasional dalam pasaran EV serantau.

Model yang ditawarkan di sana hanyalah satu varian, iaitu setara dengan varian Premium eMas 5 di pasaran tempatan, dengan harga SGD 158,888 (~RM 501k). Namun demikian, pembeli eMas 5 di Singapura akan menikmati kredit pengecasan percuma selama setahun serta faedah pemilikan bernilai SGD 5,000.

Dari segi spesifikasi teknikal, eMas 5 di pasaran Singapura dilengkapi pek bateri litium ferum fosfat (LFP) sumber CATL berkapasiti 40.16 kWh, yang mampu memberikan jarak perjalanan sehingga 325 km berdasarkan kitar ujian WLTP.

Untuk pengecasan pantas DC, kadar maksimumnya mencecah 53 kW. Namun, memandangkan kapasiti bateri yang sederhana, masa yang diperlukan untuk mengecas dari 30% ke 80% jumlah cas (SoC) adalah hanya 21 minit. Pengecasan AC pula boleh mencapai kuasa sehingga 11 kW.

Kuasa disalurkan menerusi motor elektrik yang dipasang di bahagian belakang, menghasilkan output 85 kW (116 PS) dan tork 150 Nm, membolehkan pecutan 0-50 km/j dicapai dalam masa 3.9 saat.


Dari segi dalaman dan kemudahan, eMas 5 di Singapura menerima sistem infotainment Atlas Auto dengan sokongan tanpa wayar untuk Apple CarPlay dan Android Auto. Turut disertakan frunk 70 liter, 32 ruang simpanan di dalam kabin, serta lobang udara pendingin di bahagian belakang untuk keselesaan penumpang.

Sebagai perbandingan, di pasaran tempatan, Proton eMas 5 kini sudah dipasang secara tempatan (CKD) dengan harga jauh lebih berpatutan: RM56,800 untuk varian Prime dan RM69,800 untuk varian Premium.
Kredit foto: Asphalt SG