Pada 27 Julai, Kenanga Investment Bank menaikkan unjuran Total Industry Volume (TIV) Malaysia untuk tahun 2026 daripada 790,000 unit kepada 800,000 unit. Sebab di sebalik penyesuaian unjuran ke arah atas ini cukup jelas: setakat akhir Jun, pengeluar kenderaan masih mempunyai 152,000 tempahan tertunggak.
Angka ini adalah lebih tinggi berbanding purata tempahan tertunggak sebanyak 140,000 unit pada tahun 2025. Dengan 152,000 tempahan tertunggak: pengguna menanti kereta, manakala pengeluar pula bertungkus-lumus mengejar pengeluaran. Ia kedengaran seperti berita baik yang menunjukkan permintaan yang rancak, tetapi jika diteliti dengan lebih mendalam, situasinya tidak semudah itu.

Daripada 152,000 tempahan ini, Proton Saga MC3 sahaja menyumbang sebanyak 90,000 unit, iaitu hampir 60%. Saga MC3 merupakan model generasi keempat Saga yang dilancarkan pada 27 November tahun lalu, dikuasai enjin 1.5 liter empat silinder baharu dengan 120PS dan tork 150Nm, ditawarkan pada harga bermula RM38,990.
Sebaik dilancarkan, tempahannya melepasi 30,000 unit dalam masa seminggu, meningkat kepada lebih 70,000 unit selepas dua bulan, dengan tempahan terkumpul kini menghampiri 100,000 unit. Dalam laporannya, Kenanga menegaskan: "Lebih separuh daripada tempahan tertunggak disumbangkan oleh model baharu, membuktikan daya tarikan kereta baharu kepada pembeli".

Sementara itu, Perodua mempunyai sekitar 43,000 tempahan yang masih belum dihantar. Gabungan kedua-dua jenama tempatan ini merangkumi 87.5% daripada keseluruhan tempahan tertunggak. Sementara itu, gabungan lebih sepuluh jenama lain hanya menyumbang kurang daripada 13%.
Ini bukanlah situasi di mana "seluruh industri sedang menunggu bekalan kereta", sebaliknya majoriti pembeli sebenarnya hanya menunggu Saga.

Dengan 90,000 tempahan tertunggak, puncanya adala kapasiti pengeluaran. Laporan Kenanga menyatakan dengan jelas: tempahan tertunggak Saga “dibataskan oleh kapasiti pengeluaran”. Pada masa ini, Proton sedang dalam tempoh penyesuaian susun atur pengeluaran, iaitu memindahkan pemasangan Saga dari kilang Shah Alam ke hab automotif Tanjung Malim di Perak. Turun naik kapasiti sepanjang proses pemindahan, ditambah fasa peningkatan pengeluaran selepas pelancaran model baharu menyebabkan penghantaran tidak dapat mengejar jumlah tempahan.
Situasi di Perodua pula lebih terkawal. 43,000 tempahan tertunggak adalah penurunan ketara berbanding paras tertinggi sekitar 220,000 tempahan sebelum ini. Jenama tempatan ini telah melaburkan banyak usaha dalam mengoptimumkan kapasiti pengeluaran, dan operasinya jauh lebih stabil berbanding dua tahun lalu.
Jenama bukan tempatan pula secara amnya hampir tidak mempunyai tempahan tertunggak yang ketara. Ini mencerminkan dua perkara: pertama, pegangan pasaran jenama bukan tempatan sememangnya sedang menyusut (hanya menguasai 33% pada separuh pertama 2026); kedua, nisbah penawaran dan permintaan mereka adalah lebih seimbang, dengan stok sedia ada yang lebih mencukupi berbanding jenama tempatan.
Dari sudut pandangan industri, 152,000 tempahan tertunggak ini sememangnya satu petanda positif: permintaan pasaran masih wujud dan pengguna bersedia membeli kenderaan. Laporan Kenanga turut menyatakan bahawa "kebolehlihatan keuntungan industri kekal baik".

Namun, ia pada masa yang sama bagaikan pedang bermata dua.
Bagi pengeluar kereta, tempahan tertunggak memberikan unjuran hasil yang stabil, namun kelewatan penghantaran yang terlalu lama boleh menguji kesabaran pembeli. Semakin lama bakal pemilik Saga menunggu, semakin tinggi risiko tempahan dibatalkan, terutamanya apabila pesaing giat melancarkan model baharu dan menawarkan promosi. Laporan Kenanga secara jelas menyenaraikan "diskaun dan rebat sebagai strategi untuk merebut pegangan pasaran" sebagai salah satu hujah utama bagi unjuran TIV 2026 mereka.
Bagi pengguna pula, tempahan tertunggak bermakna anda kehilangan kuasa tawar-menawar. Mahu beli Saga? Boleh, tetapi sila beratur. Enggan menunggu? Anda perlu menambah bajet untuk membeli model lain atau beralih ke jenama lain. Dalam pasaran yang mengalami ketidakseimbangan bekalan dan permintaan, kuasa memilih pengguna adalah sangat terhad.
Satu lagi dimensi yang mudah diabaikan ialah pasaran kereta terpakai. Kelewatan penghantaran kereta baharu secara tidak langsung akan merancakkan permintaan dan menaikkan harga kereta terpakai. Pembeli yang enggan menunggu lama akan beralih mencari alternatif kereta terpakai yang masih berkeadaan baik, dan trend ini sangat ketara dalam segmen-A.
Kenanga menaikkan unjuran TIV tahunan kepada 800,000 unit, bermakna mereka menjangkakan sekitar 414,647 unit kereta baharu bakal didaftarkan pada separuh kedua tahun ini.

Terdapat beberapa faktor yang menyokong jangkaan ini.
Pertama adalah kestabilan harga. Pindaan duti eksais berdasarkan Nilai Pasaran Terbuka (OMV) yang asalnya dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Julai telah ditangguhkan ke Januari 2027. Presiden MAA menyatakan bahawa kesan kaedah pengiraan baharu terhadap harga kereta pemasangan tempatan (CKD) adalah "sangat kecil, malah mungkin tiada kesan langsung", sekurang-kurangnya sebelum Januari tahun depan, harga kereta CKD baharu tidak akan melonjak disebabkan oleh dasar ini. Kestabilan harga merupakan faktor penting dalam mengekalkan momentum pembelian pengguna.
Kedua adalah langkah agresif jenama China dalam mempercepatkan pemasangan tempatan. Jenama seperti BYD, MG, dan Leapmotor mula memulakan produksi CKD di Malaysia secara berperingkat. Pemasangan tempatan ini bukan sahaja mengurangkan kos malah memastikan kestabilan rantaian bekalan, sekaligus membantu meredakan ketegangan antara penawaran dan permintaan dalam beberapa segmen pasaran.
Ketiga ialah musim kemuncak jualan (peak season) pada separuh kedua tahun yang lazimnya disokong oleh promosi agresif daripada jenama-jenama utama. Kenanga turut menekankan faktor ini secara jelas di dalam laporannya.

Bagaimanapun, kepantasan menyelesaikan tempahan tertunggak ini akhirnya bergantung kepada sejauh mana Proton dapat memulihkan kapasiti pengeluarannya. Sama ada 90,000 tempahan Saga dapat dihantar sepenuhnya dalam tahun ini akan menentukan "kadar penyelesaian" sebenar bagi keseluruhan 152,000 tempahan tertunggak tersebut.
Mengenai 152,000 tempahan tertunggak ini, ia bukanlah menunjukkan permintaan yang rancak di seluruh industri, sebaliknya menggambarkan bagaimana model Saga sahaja yang menguasai sebahagian besar pasaran. Kesediaan pembeli untuk menunggu membuktikan daya tarikan produk, tetapi had kapasiti pengeluaran menunjukkan sektor pembuatan belum bersedia untuk menampung permintaan pada skala sebesar ini.
Laporan Kenanga mengekalkan penarafan "Neutral" terhadap sektor automotif: walaupun unjuran jualan dinaikkan, penarafan tersebut kekal tidak berubah. Sikap optimis yang berhati-hati ini menggambarkan realiti sebenar: asas pasaran kukuh, namun cabaran juga wujud. Bagi pengguna pula, jika anda berminat dengan model popular, janganlah bertangguh terlalu lama kerana ketika anda sedang berfikir, mungkin beratus lagi orang telah mendahului anda dalam barisan tempahan.