
Berbeza dengan program penarafan bintang tradisional ASEAN NCAP, IVASA memberi tumpuan khusus kepada teknologi pemanduan pintar dan kenderaan autonomi, termasuk sistem bantuan pemandu Tahap 2 (L2) dan Tahap 2+ (L2+) yang kini semakin lazim ditawarkan pada kenderaan baharu di rantau ini.

Menurut pihak ASEAN NCAP, penerimaan pesat kenderaan elektrik (electrified) dan terhubung telah mewujudkan keperluan bagi penilaian keselamatan yang lebih mencerminkan persekitaran pemanduan unik di Asia Tenggara.



Jalan raya di seluruh rantau ini sering dicirikan oleh aliran trafik yang padat, kepelbagaian jenis kenderaan serta bilangan pengguna jalan raya yang berisiko tinggi (vulnerable road users) seperti penunggang motosikal dan pejalan kaki. Keadaan ini jauh berbeza berbanding Eropah, China dan Amerika Utara, tempat kebanyakan sistem pemanduan pintar dibangunkan dan diuji.

Oleh itu, IVASA bertujuan untuk menilai sejauh mana prestasi sistem ini dalam senario pemanduan tempatan berbanding hanya bergantung kepada standard ujian luar negara semata-mata.

"Bagi memastikan kenderaan penumpang benar-benar bersesuaian dengan Asia Tenggara, kita mesti menilai teknologi pintar ini berdasarkan realiti jalan raya tempatan kita," kata Ts. Yahaya Ahmad, Ketua Teknikal ASEAN NCAP.
"IVASA ditubuhkan untuk merapatkan jurang ini dengan mewujudkan protokol penilaian khusus yang melindungi pemandu, serta menyokong pelaksanaan mobiliti generasi akan datang secara selamat."

Bagi menyokong program berkenaan, ASEAN NCAP telah menjalinkan kerjasama dengan "Institut Penyelidikan Kejuruteraan Automotif China (CAERI)" yang dilantik sebagai rakan kongsi ujian rasmi bagi IVASA.

Kedua-dua organisasi telah bersama-sama membangunkan rangka kerja penilaian pelbagai dimensi yang tertumpu pada tiga tunjang utama:
Ujian IVASA akan merangkumi tiga kategori utama.

Kategori pertama ialah Bantuan Pemanduan Asas (Basic Driving Assistance), yang menilai keupayaan mengelak perlanggaran dalam senario melibatkan kereta penumpang, lori, pejalan kaki dan penunggang motosikal, selain menilai cara kenderaan bertindak balas terhadap ciri-ciri jalan raya tempatan.

Kategori kedua ialah Bantuan Pemanduan Pintar (Intelligent Driving Assistance), yang mengukur prestasi sistem pemanduan pintar semasa ujian di jalan raya awam, melibatkan kedua-dua persekitaran bandar dan lebuh raya.


Akhir sekali, kategori ketiga ialah Interaksi Kabin Pintar (Intelligent Cabin Interaction), menilai teknologi dalam kabin seperti Sistem Pemantauan Pemandu (DMS) dan fungsi kawalan suara.
Berbanding sistem penarafan bintang konvensional, IVASA menggunakan sistem gred prestasi yang lebih terperinci.

Kenderaan akan menerima salah satu daripada lima keputusan penarafan berikut:
Menurut ASEAN NCAP, sistem gred ini bertujuan untuk memberikan maklum balas kejuruteraan yang lebih terperinci kepada pengeluar, selain memberi pengguna gambaran yang lebih jelas tentang keupayaan sebenar sistem pemanduan pintar berkenaan.
Ujian perintis program IVASA telah pun dimulakan di Malaysia, dengan penilaian tertumpu pada keadaan trafik sebenar yang padat.
Seiring dengan semakin meluasnya penggunaan teknologi pemanduan pintar pada kenderaan baharu, IVASA dijangka menjadi pelengkap kepada program keselamatan perlanggaran sedia ada ASEAN NCAP, dengan menyediakan penanda aras bebas untuk sistem bantuan pemanduan dan pemanduan autonomi generasi baharu.