Dengan peningkatan kenderaan elektrik (xEV) di jalan raya Malaysia, isu keselamatan bateri sentiasa menjadi kerisauan utama pengguna tempatan. Bagi membuktikan ketahanan teknologi mereka, Chery Auto Malaysia semalam telah menjalankan satu "ujian ganas" yang sangat ekstrem—membakar bateri Chery Super Hybrid (CSH) yang digunakan pada Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV secara terus!

Dalam demonstrasi terbuka ini, Chery menyalakan 36 liter petrol untuk menghasilkan marakan api yang besar. Pek bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) 18.3 kWh tersebut diturunkan tepat di atas api selama 80 saat, di mana suhu persekitaran melonjak melebihi 1,000 darjah Celsius.
Keputusannya memang mengejutkan: Walaupun luaran kotak bateri nampak hangus dan hitam, struktur pek bateri tetap utuh tanpa sebarang kerosakan elektrik. Yang paling penting, tiada kejadian 'thermal runaway' (kebakaran berantai) berlaku. Jurucakap Chery mendedahkan bahawa dalam ujian sebelum ini, mereka mendapati sel bateri di dalam langsung tidak terjejas oleh api.

Kenapa bateri ini begitu "kebal"? Menurut penjelasan rasmi Chery, bateri CSH dilengkapi teknologi keselamatan berikut:
Struktur Tahan Haba: Menghalang api daripada merebak; pek bateri mampu bertahan dalam had operasi normal sehingga 95°C.
Palang Penguat Tinggi (High-Strength Crossmember): Struktur dalaman yang melindungi bateri daripada kemik atau berubah bentuk jika berlaku kemalangan.
Suis Keselamatan PSS: Sistem memantau risiko 'thermal runaway' 24 jam sehari. Jika ada yang tak kena, Pyrotechnic Safety Switch (PSS) akan memutuskan bekalan elektrik dalam masa 2 milisaat (0.002 saat) sahaja—lebih laju daripada kelipan mata!

Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Men Lin Bo, berkata ujian terbuka ini dilakukan supaya rakyat Malaysia dapat melihat sendiri standard keselamatan di sebalik teknologi mereka, bukan sekadar melihat data di atas kertas.
Sebenarnya, Chery sudah "mengerjakan" bateri CSH ini di merata dunia:
Indonesia: Bateri direndam dalam air laut selama 53 jam, kemudian dipasang semula pada Tiggo 8 PHEV dan kereta masih boleh dipandu seperti biasa.
Mexico: Tiggo 7 PHEV melalui ujian sagat bawah kereta (underbody scrape) pada tiang besi (bollard).
Ecuador: Paling gila, bateri ditembak dengan senapang dari pelbagai sudut!
Afrika Selatan/China: Ujian perlanggaran hadapan dan ujian kereta terbalik (rollover), termasuk ujian impak ekstrem pada Tiggo 9 PHEV.

Bagi mereka yang merancang nak beli kereta PHEV, keselamatan bateri memang perkara No. 1. Langkah Chery melakukan ujian api ini di Malaysia pastinya dapat memberi keyakinan kepada bakal pembeli. Kalau kena bakar dan kena tembak pun boleh 'survive', setakat banjir kilat atau lubang jalan di Malaysia, rasanya tiada masalah. Macam mana Bossku? Dah yakin dengan keselamatan bateri Chery?