BMW Group Malaysia dan Universiti Malaya (UM) telah memasang stesen pengecasan telefon pintar berkuasa solar yang menggunakan bateri EV BMW ‘second-life’ di hentian bas UM Central, menandakan aplikasi di dunia sebenar pertama untuk inisiatif penyelidikan RE:GENERATE x Universiti Malaya.
Stesen ini direka bentuk dan dibangunkan oleh Profesor Madya Dr. Tan Chia Kwang dan pasukannya di UM Power Energy Dedicated Advanced Centre (UMPEDAC), sekali gus menterjemahkan penyelidikan makmal selama lebih dua tahun kepada penggunaan harian di hentian bas yang digunakan oleh lebih 3,000 pengguna setiap hari.
Ia merupakan salah satu daripada dua aplikasi hasil inisiatif berkenaan. Pek bateri berkapasiti rendah membekalkan kuasa kepada stesen di kampus, manakala pek bateri berkapasiti tinggi daripada program yang sama sedang disediakan untuk dipasang di Pos Sinderut, Kuala Lipis, Pahang bagi membekalkan bekalan elektrik luar grid (off-grid) kepada komuniti Orang Asli Semai.
Baca Juga: Pengeluaran siri NA0 BMW i3 Neue Klasse bermula di Munich, pelancaran Malaysia pada 2027?
Stesen ini beroperasi dengan sistem 1.5 kWh yang dibina daripada tiga modul bateri BMW, setiap modul berusia sekitar 10 tahun. Ujian, penggredan dan pengubahsuaian oleh pasukan Dr. Tan berjaya memulihkan 30–40% kapasiti asal bateri, ini ialah sel berkapasiti rendah hasil proses pengisihan, manakala bateri berkapasiti tinggi dikhaskan untuk projek elektrifikasi luar bandar yang lebih mencabar.
Sistem ini menggabungkan bateri 'second-life' dengan panel solar 'second-life', pengawal cas solar, penyongsang fotovoltaik, Sistem Pengurusan Bateri (BMS) dan pengecas pantas USB. Ia menawarkan empat port pengecasa, tiga USB-C dan satu Lightning dengan output gabungan 200W dan maksimum 100W bagi setiap port.
Pencatat data (data logger) menjejak parameter dan corak penggunaan bateri. Sekumpulan pelajar terlatih mengurus pemantauan dan penyelenggaraan, yang sebahagian besarnya melibatkan semakan data pencatat serta pemeriksaan visual berkala. Sistem ini direka untuk bertahan sekurang-kurangnya lima tahun, dengan unjuran jangka hayat berdasarkan keadaan semasa bateri, jangkaan penggunaan dan kedalaman nyahcas (depth of discharge).
Baca Juga: Jarak gerak Neue Klasse BMW iX3 LWB dinilai pada 919 km, bakal tiba di Malaysia?
Bateri berkapasiti rendah yang digunakan di stesen pengecasan ini kurang berkemungkinan untuk menjalani kitaran hayat ketiga disebabkan kemerosotan kapasitinya. Walau bagaimanapun, bateri berkapasiti tinggi yang masih mengekalkan sehingga 80% kapasiti asal akan dialihkan ke projek Pos Sinderut. Selepas fasa tersebut, pasukan Dr. Tan merancang untuk menggunakan semula unit bateri ini sebagai stesen pengecasan kitaran hayat ketiga, sekali gus melengkapkan kitaran hayat penuh: daripada kenderaan elektrik, untuk bekalan rumah luar bandar, kemudian menjadi pengecas awam.