Pada pertengahan era 2000-an, bagaimana rupa sebuah “SUV premium” di Malaysia? Bagi kebanyakan orang, ia adalah deretan Toyota Harrier di bilik pameran recond. Bentuk berkotak, selesa, dan bawa bos pun tak jatuh standard. Tepat pada masa itu, muncul sebuah jentera pelik di bilik pameran: gril depan krom berkilat yang sangat besar, badan membulat licin macam batu sungai, dan lampu belakang menegak seakan dua gelombang cahaya. Kereta ini dinamakan Nissan Murano.
Nama Murano ini dipinjam daripada sebuah pulau berhampiran Venice yang tersohor dengan seni kaca. Direka oleh pusat rekaan Nissan di California, misinya ketika itu adalah menghasilkan “crossover seakan arca bergerak”. Bagi mereka yang terbiasa dengan SUV berkotak, ia langsung tidak macam Nissan pada era tersebut, malah lebih mirip kereta konsep yang tersalah masuk ke bilik pameran.

Tanggapan ramai peminat kereta terhadap Murano terungkap dalam satu ayat: “350Z yang pakai baju SUV.” Kata-kata ini cuma betul separuh, dan hari ini admin nak huraikan sepenuhnya.
Bercakap fasal Murano, kita kena kenal seorang individu ini dulu: Carlos Ghosn. Pada tahun 1999, Renault mengambil alih pegangan dalam Nissan yang hampir gulung tikar, lalu menghantar beliau ke Tokyo. Menerusi “Nissan Revival Plan”, fokus utamanya adalah penyatuan platform secara drastik dan pemotongan kos. Namun, beliau turut terkenal dengan falsafah ini: Tiada masalah pengeluar kereta yang tidak boleh diselesaikan oleh produk yang hebat.

Maka lahirlah barisan model “era Ghosn”. Kebangkitan semula sports car 350Z, Skyline yang dijual sebagai Infiniti G35 di Amerika Syarikat, serta tumpuan kita hari ini, Murano. Di bawah ketetapan ketua reka bentuk Shiro Nakamura, Murano membawa identiti rekaan Nissan generasinya: berani, sarat garisan beralun, dan langsung tak takut jika ada yang tak suka. Pada tahun 2002, Murano versi produksi dipertontonkan di New York Auto Show, mula dipasang pada Mei tahun yang sama, dan menjengah pasaran Amerika Utara terlebih dahulu. Bagi pasaran AS dan Kanada, ia adalah SUV crossover sulung daripada Nissan, manakala pasaran Jepun hanya mula menjualnya pada September 2004.

Jelas sekali, Murano memang produk tulen “era Ghosn”. Mengenai babak hidup Ghosn seterusnya, daripada ditahan di Tokyo pada 2018 sehinggalah melarikan diri ke Lebanon di dalam kotak peralatan audio pada 2019, itu sudah jadi plot drama bertaraf Netflix.
Mari lihat separuh yang betul dulu. Varian tertinggi Murano generasi pertama berkongsi nadi yang sama dengan 350Z, iaitu enjin 3.5 liter VQ35DE V6. Cuma untuk Murano, talaan enjin telah diselaraskan semula oleh Nissan. Versi spesifikasi AS mencatatkan 245hp, manakala versi Jepun menjana 231PS dan 333Nm. Karakter kuasanya ditala untuk pemanduan lancar dan senyap, bukan ngauman hingga redline seperti pada 350Z.

Sekarang kita tengok bahagian yang salah pula. 350Z dibina atas platform FM, singkatan kepada “front midship”, iaitu enjin di depan tetapi kedudukannya ditolak ke belakang gandar roda depan dengan pacuan roda belakang bagi mengejar agihan berat sports car. Murano sebaliknya menggunakan platform FF-L, iaitu platform kenderaan besar pacuan roda depan (FWD) yang berkongsi asas dengan Altima dan Maxima. Ertinya, Murano dan 350Z berkongsi nadi yang sama tetapi dengan kerangka casis yang langsung berbeza. Kalau nak diselidik susur galurnya, memanggilnya sebagai Maxima versi tinggi adalah jauh lebih tepat.
Satu lagi fakta yang ramai terlepas pandang: Kebanyakan Murano generasi pertama atas jalan raya Malaysia tiada pun enjin 350Z ini. Pasaran Jepun menawarkan dua pilihan enjin, iaitu 3.5 V6 dengan transmisi CVT, dan satu lagi enjin 2.5 liter empat silinder QR25DE berkuasa 163PS yang dipadankan dengan automatik empat kelajuan. Varian “250XL” inilah yang paling banyak bersepah dalam pasaran terpakai tempatan. Jadi kalau ada yang beria sembang Murano miliknya itu 350Z versi SUV, tanya dia satu soalan dulu: Kereta kau ni enjin 3.5 ke 2.5?

Walau bagaimanapun, satu persamaan yang ada pada kedua-dua varian ialah siluet badannya. Bahagian depan rendah, belakang menaik, serta garisan tingkap yang tirus ke belakang membuatkannya sangat selesa di dalam dan nampak jauh lebih sporty daripada mana-mana SUV berkotak lain di luar. Anggapan “350Z dalam bentuk SUV” mungkin berpunca daripada aura rekaannya ini.
Kisah Murano di pasaran tempatan memang unik gaya Malaysia. Pasaran Jepun baru mula menjualnya pada September 2004, tetapi data pendaftaran JPJ menunjukkan unit pertama Murano di Malaysia sudah didaftarkan pada November 2004, beza dua bulan sahaja. Tahun kemuncaknya di Malaysia adalah pada 2005 dengan catatan 621 unit, sedangkan Tan Chong hanya memasukkan Murano dalam perancangan model baharu rasmi pada tahun 2006. Maksudnya, zaman kegemilangan Murano di sini dipacu sepenuhnya oleh pengimport recond, bukan pengedar rasmi.

Di bilik pameran recond ketika itu, Harrier kekal sebagai raja, manakala Murano hadir sebagai pencabar paling futuristik. Banyak Murano turut dipadankan dengan lencana dan bodykit IMPUL, penala rasmi yang sinonim dengan Nissan. Di mata peminat tegar, lima huruf itu melambangkan prestasi tinggi, walaupun hakikatnya kebanyakan Murano IMPUL ini mengekalkan enjin dan suspensi standard tanpa sebarang modifikasi prestasi mekanikal. Inilah hakikat budaya recond di Malaysia.
Tan Chong hanya benar-benar memberi tumpuan menerusi generasi kedua. Pada 11 Ogos 2009, Tan Chong melancarkan Murano serentak dengan 370Z secara import sepenuhnya (CBU). Menggunakan enjin 3.5 liter V6 berkuasa 260PS dan 336Nm bersama transmisi Xtronic CVT dan pacuan semua roda (AWD), model ini ditawarkan pada harga RM318,200 berserta jaminan 100,000 km. Pelancaran bersama 370Z itulah yang mengukuhkan lagi persepsi “Z versi SUV” dalam kalangan peminat tempatan. Pada April 2012, versi facelift dilancarkan bersama-sama Elgrand pada harga RM318,882.50 (tanpa insurans dan road tax).

Tanda harga RM310,000 ke RM320,000 pada zaman itu sudah setaraf harga kereta mewah Eropah. Kebanyakan pembeli memilih warna hitam yang mewakili 32.2% daripada keseluruhan pendaftaran, menonjolkan imej kereta bos yang cukup kuat. Jualan bulanan terbaik Murano direkodkan pada Oktober 2011 dengan 102 unit didaftarkan.
Dari tahun 2004 hingga rekod pendaftaran terakhir pada Mei 2024, jumlah Murano di jalan raya Malaysia hanya mencecah 3,437 unit. Sebagai perbandingan, model sejenamanya iaitu X-Trail mencatatkan 60,660 unit dari tahun 2002 hingga kini, dengan jualan tahun 2016 sahaja mencecah 8,884 unit. Melihat jurang perbezaan angka ini, kita sudah tahu apa sebenarnya kehendak pembeli Malaysia.
Faktor penghalang terbesar sudah tentu harga. Murano generasi kedua edisi rasmi dijual pada harga RM318,200 dan hanya ada satu pilihan enjin besar, 3.5 V6. Di Malaysia, kapasiti enjin yang besar bermakna cukai import dan road tax yang mahal, selain penggunaan bahan api yang tinggi. Penjual kereta terpakai sendiri lebih mengesyorkan pembeli memilih versi 2.5 generasi pertama kerana kos minyak dan servis enjin 3.5 terlalu membebankan.

Selain harga belian, isu seterusnya ialah nilai jualan semula (resale value). Kereta yang asalnya berharga lebih RM300,000 jatuh merudum sehingga tinggal nilai baki dalam tempoh beberapa tahun, satu igauan ngeri bagi pembeli tempatan yang mementingkan resale value. Tambahan pula, penggunaan kotak gear CVT pada SUV sebesar ini masih dianggap asing pada masa itu, mencetuskan keraguan tentang ketahanannya dalam jangka masa panjang.
Strategi pengedar rasmi juga cukup jelas. Tan Chong memberi tumpuan sepenuhnya kepada X-Trail versi pemasangan tempatan (CKD) yang lebih mesra poket, menjadikan Murano sekadar model pelengkap imej di bilik pameran. Murano generasi ketiga yang diperkenalkan pada 2015 langsung tidak dibawa masuk secara rasmi ke Malaysia. Hari ini, dengan pegangan pasaran Nissan di Malaysia tinggal sekitar 0.5%, era Nissan yang berani menghasilkan SUV berwajah jentera konsep ini sudah menjadi sejarah yang kian dilupakan.
Kini di platform jual beli kereta terpakai, Murano 2.5 generasi pertama kebanyakannya dijual pada julat harga antara RM10,000 hingga RM13,000. Unit dalam keadaan cantik berserta sunroof dan sistem audio BOSE berada sekitar RM20,000 ke atas, malah ada unit termurah yang admin jumpa berharga serendah RM5,800. Bagi model rasmi 3.5 generasi kedua tahun 2011 pula, ada yang melepaskannya pada harga RM15,800. Kereta yang asalnya mencecah RM318,200 kini nilainya tinggal sekelumit sahaja.
Harga murah ini tentu sekali bersebab. Dengan usia mencecah 20 tahun dan jarak perbatuan melangkaui 200,000 km, kebanyakan iklan tertera syarat “Cash Only” atau “pinjaman kedai”. Kalau berminat nak beli, kondisi kotak gear dan rekod penyelenggaraan jauh lebih penting daripada harga kereta, manakala bagi varian 3.5, pastikan bajet minyak dan road tax dikira siap-siap.

Dengan bajet belasan ribu Ringgit, anda boleh dapat sebuah kereta terpakai biasa, atau anda boleh miliki sebuah Murano yang suatu ketika dulu memukau bilik pameran persis sebuah kereta konsep. Ia mungkin bukan 350Z versi SUV, tetapi ia adalah bukti keberanian Nissan dalam menghasilkan kenderaan keluarga paling radikal pada era Carlos Ghosn.
Jika diberi pilihan pada era itu, anda pilih Harrier atau Murano? Ada kawan anda yang pernah pakai Murano berspesifikasi IMPUL dan sembang lebat kononnya itu 350Z versi SUV? Kongsikan cerita anda di ruangan komen.

Your go-to source for all things automotive in Malaysia. 🚗 Latest reviews, breaking news, launches & industry trends.
+ Follow
Zeekr Lounge X Park Sunway Serene is now live, and owners can enjoy lounge access 24/7!
There'll even be sales advisors on standby if you're looking to update ;)
#zeekr 1 day ago
70,000 wire harness types and China breathing down their neck 😅🇯🇵
Japanese brands are finally teaming up on basic parts to save cash for next-gen cars.
Tap in 👇 1 day ago
Yangwang U8 and U9 otw to Malaysia? 👀🔥 BYD Malaysia posted dancing cars on track—not local footage, so is a launch imminent?
Tap in 👇 1 day ago Get the latest car news first!

Your go-to source for all things automotive in Malaysia. 🚗 Latest reviews, breaking news, launches & industry trends.
Zeekr Lounge X Park Sunway Serene is now live, and owners can enjoy lounge access 24/7!
There'll even be sales advisors on standby if you're looking to update ;)
#zeekr 1 day ago
70,000 wire harness types and China breathing down their neck 😅🇯🇵
Japanese brands are finally teaming up on basic parts to save cash for next-gen cars.
Tap in 👇 1 day ago
Yangwang U8 and U9 otw to Malaysia? 👀🔥 BYD Malaysia posted dancing cars on track—not local footage, so is a launch imminent?
Tap in 👇 1 day ago