
BYD Sime Motors melancarkan BYD Certified secara rasmi, iaitu program kenderaan terpakai disahkan (CPO) jenama berkenaan di Malaysia, menawarkan saluran dengan sokongan pengeluar untuk pelanggan membeli kenderaan elektrik (EV) BYD terpakai dengan keyakinan yang lebih tinggi.

Pelancaran ini turut menyaksikan pembukaan bilik pameran BYD Certified pertama di rantau Asia Pasifik yang terletak di Sime Darby Auto Selection Glenmarie, sekali gus menyerlahkan kepentingan Malaysia yang semakin meningkat dalam pelan pengembangan serantau BYD.

Sebagai sebahagian program ini, setiap kenderaan BYD Certified menjalani pemeriksaan 170-titik yang komprehensif, termasuk pengesahan status kesihatan bateri, semakan sejarah kenderaan serta proses baik pulih menggunakan alat ganti tulen BYD. Kenderaan yang layak mestilah berusia kurang daripada empat tahun dengan jarak perjalanan tidak melebihi 100,000 km, tiada kerosakan akibat kemalangan besar, banjir atau kebakaran, serta tiada manipulasi odometer.
Untuk memberikan keyakinan tambahan kepada pembeli, BYD Certified menawarkan jaminan beli-balik lima hari, yang membolehkan pelanggan memulangkan kenderaan untuk mendapatkan bayaran balik penuh sekiranya kerosakan struktur, kesan banjir atau kebakaran yang tidak didedahkan sebelum ini dikesan dalam tempoh lima hari selepas penghantaran.

Pelanggan juga akan terus menikmati perlindungan waranti dan sokongan selepas jualan menerusi rangkaian pusat 3S sah BYD di seluruh negara.
Program ini juga ditawarkan kepada pemilik BYD sedia ada, menyediakan platform tukar beli rasmi yang membolehkan mereka menaik taraf kepada model BYD yang lebih baharu melalui proses penilaian yang telus.
Semasa acara pelancaran tersebut, BYD Certified menyempurnakan penyerahan kenderaan pertamanya kepada pelanggan menerusi model BYD Atto 3 terpakai, sekali gus menandakan jualan rasmi pertama program berkenaan di Malaysia.

"BYD Certified merupakan satu langkah penting dalam menjadikan pemilikan EV lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia," kata Jacob Ma, Pengarah Urusan BYD Malaysia.
"Seiring dengan kematangan pasaran EV, kami melihat peningkatan minat daripada pelanggan yang mencari kenderaan terpakai berkualiti dengan jaminan serta sokongan profesional."

Adeline Lew, Pengarah Urusan BYD Sime Motors, menambah bahawa setiap kenderaan terpakai disahkan ini menjalani proses pemeriksaan yang ketat dan disokong oleh rekod sejarah kenderaan yang sah, penilaian kesihatan bateri serta perlindungan waranti, di samping menyediakan saluran tukar beli yang dipercayai buat pemilik sedia ada.
Baca Juga: Model kompak BYD Dolphin G bakal memasuki pasaran Eropah, tawarkan jarak pemanduan sehingga 1,000 km
Cawangan pertama BYD Certified di Sime Darby Auto Selection Glenmarie menawarkan pusat sehenti yang lengkap untuk pembelian kenderaan terpakai disahkan, urusan tukar beli, pembiayaan, sokongan waranti dan perkhidmatan selepas jualan.

Untuk menarik minat pembeli, BYD Sime Motors turut menawarkan pakej pembiayaan dengan kadar faedah bermula serendah 2.03%, tertakluk kepada terma dan syarat.
Pelanggan yang berminat dengan program ini boleh mengunjungi acara BYD Certified Weekend Showroom Event yang akan berlangsung dari 24 hingga 26 Julai 2026 di Sime Darby Auto Selection Glenmarie.