
BMW Group Malaysia mengumumkan pelantikan Raymond Tan Chor Ann sebagai Pengarah Urusan baharunya, berkuat kuasa 1 September 2026, bagi menggantikan Benjamin Nagel yang akan memegang jawatan serantau baharu dalam BMW Group.
Pelantikan ini menandakan kepulangan Raymond ke tanah air, sekali gus menjadi rakyat Malaysia pertama menerajui BMW Group Malaysia setelah lebih dua dekad berkhidmat dengan syarikat berkenaan di Malaysia, rantau Asia-Pasifik, dan ibu pejabat BMW Group di Munich.
Baca Juga: 2026 BMW 218 Gran Coupe M Sport dilancarkan di Malaysia: RM192,800, RM204,800 dengan BSRI
Sementara itu, Benjamin dilantik sebagai Pengarah Urusan BMW Group Importer Markets Taiwan, Hong Kong dan Macau (TW, HK, MC) untuk menyelia operasi pengeluar kenderaan premium berkenaan di ketiga-tiga pasaran tersebut.
Menerusi peranan baharu ini, Raymond akan menyelia operasi BMW Group Malaysia bagi jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad, dengan tumpuan berterusan untuk memperkukuh kedudukan pasaran premium syarikat, pengalaman pelanggan, serta tawaran mobiliti.

Raymond mula menyertai BMW Group Malaysia pada tahun 2003 sebagai Pengurus Perancangan Produk dan Harga, dan merupakan sebahagian daripada pasukan perintis yang bertanggungjawab merangka strategi produk syarikat di Malaysia.
Beliau kemudiannya berpindah ke ibu pejabat BMW Group di Munich sebagai Pengurus Produk Serantau bagi menyelia perancangan produk dan penyelarasan pasaran antarabangsa, sebelum kembali ke Malaysia sebagai Ketua Pemasaran dan kemudiannya menjawat jawatan Ketua Jualan, di mana beliau memimpin operasi jualan seluruh negara dan prestasi rangkaian pengedar.
"Saya sangat gembira untuk kembali ke Malaysia bagi menerajui Syarikat Jualan Nasional sebagai Pengarah Urusan tempatan pertama BMW Group Malaysia, terutamanya pada fasa penting ini ketika BMW Group sedang bersedia untuk era baharu melalui pengenalan barisan model Neue Klasse tidak lama lagi," kata Raymond Tan.
"Keutamaan saya adalah untuk memacu pertumbuhan perniagaan, mempertingkat profesionalisme rangkaian pengedar, mengukuhkan kesetiaan pelanggan, dan terus meletakkan BMW Group sebagai jenama premium pilihan utama di Malaysia."

Mengulas mengenai pelantikan baharunya, Nagel berkata beliau tidak sabar untuk memanfaatkan pengalaman yang diperoleh di Malaysia ke pasaran pengimport Taiwan, Hong Kong, dan Macau, di samping terus memperkukuh hubungan pelanggan serta memacu pertumbuhan perniagaan yang mampan di rantau berkenaan.
Mengulas mengenai peralihan kepimpinan tersebut, Ritu Chandy, Naib Presiden Kanan Jualan Wilayah Asia-Pasifik, Eropah Timur, Timur Tengah dan Afrika di BMW Group, berkata pengalaman antarabangsa Raymond yang luas dan pemahaman mendalam tentang rantau ini amat penting dalam membimbing BMW Group Malaysia ke fasa pertumbuhan seterusnya. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Benjamin Nagel atas segala sumbangan sepanjang perkhidmatannya di Malaysia.