
Honda Civic e:HEV RS terbaharu yang dilengkapi sistem S+ Shift baharu akhirnya mula dijual di Jepun, dan tanggapan awal daripada media tempatan menunjukkan bahawa kemas kini ini menawarkan sesuatu yang jauh lebih hebat daripada sekadar perubahan gear simulasi.
Dengan Thailand yang baru sahaja melancarkan Civic e:HEV RS berwajah baharu dengan S+ Shift minggu lepas, dan Malaysia dijangka akan menerima varian yang sama pada akhir tahun ini. Portal automotif Jepun webCG baru-baru ini menguji model berkenaan untuk melihat sama ada teknologi terbaharu Honda ini benar-benar menjadikan sedan hibrid itu lebih menyeronokkan untuk dipandu.

Pada pandangan pertama, S+ Shift mungkin kedengaran seperti satu lagi sistem transmisi maya yang serupa dengan sistem yang terdapat pada EV berprestasi tinggi. Bagaimanapun, menurut ulasan dari Jepun, Honda telah melangkah lebih jauh dengan menyepadukan bunyi enjin, tindak balas pendikit dan kawalan rangkaian pacuan untuk menghasilkan pengalaman pemanduan yang lebih bersepadu, ala Honda Prelude.
Walaupun Civic masih menggunakan sistem hibrid e:HEV Honda yang biasa dengan transmisi eCVT kelajuan tunggal, S+ Shift menawarkan lapan nisbah gear maya yang boleh dikawal menerusi paddle shifter pada stereng.


Berbeza dengan pemetaan CVT konvensional, sistem ini memperkenalkan rasa "upshift" dan "downshift" yang ketara, lengkap dengan peningkatan putaran enjin (rev) yang sepadan serta simulasi "shift shock". Ia membuatkan kereta berasa hampir sama seperti memandu transmisi automatik tradisional atau transmisi dwi klac.

Namun, berbanding Honda Prelude, webCG menjelaskan bahawa pada Civic, mengaktifkan S+ Shift secara automatik akan menukar mod pemanduan kepada Sport. Sebaliknya pada Prelude, S+ Shift boleh diaktifkan dalam mana-mana mod pemanduan, malah termasuk mod Econ.
Menurut webCG, kejutan terbesar bukanlah simulasi penukaran gear maya yang meyakinkan itu, sebaliknya cara penyepadukannya dengan rangkaian pacuan hibrid Civic sedia ada secara semulajadi.

Di laluan berliku-liku, sistem S+ Shift mengambil kira input kelajuan kenderaan, daya G sisi serta memanjang, dan kedudukan pendikit untuk menentukan hasrat pemandu. Ia menghasilkan "throttle blip" yang lebih jelas ketika penurunan gear serta mengekalkan nisbah gear maya yang lebih rendah (perlu diingatkan, Civic e:HEV menggunakan eCVT dan kesemua operasi dikawal oleh perisian). Sistem ini juga menghalang peningkatan gear di pertengahan selekoh.
Bagaimanapun, ketika pemanduan santai, sistem ini bertukar kepada karakter yang lebih lancar dengan mengurangkan keamatan "throttle blip" serta melakukan upshift lebih awal secara senyap dan semula jadi bagi mengutamakan keselesaan serta kehalusan pemanduan.

Yang penting, pengulas menyatakan bahawa sistem ini langsung tidak mengganggu pemanduan harian. Pemandu boleh membiarkan kenderaan dalam mod pemanduan biasa, dan Civic akan terus berfungsi seperti e:HEV konvensional dengan mengekalkan kelancaran serta kecekapan bahan api yang menjadi keistimewaan model hibrid ini.
Bagi pasaran Jepun, kemas kini Civic e:HEV RS bukan sekadar menumpukan pada S+ Shift semata-mata.

Honda juga telah menala semula sistem suspensi dan stereng khusus untuk varian RS bagi memberikan tindak balas yang lebih tajam tanpa mengorbankan keselesaan pemanduan. Digabungkan dengan simulasi transmisi ini, pakej keseluruhan Civic RS ini menawarkan pengalaman pemanduan yang jauh lebih mengujakan berbanding varian Civic e:HEV standard.
Honda baru sahaja melancarkan Civic e:HEV RS berwajah baharu di Thailand minggu lepas dengan membawakan sistem S+ Shift, ciri bantuan pemanduan tambahan, serta beberapa peningkatan kelengkapan kecil kepada model ini.
Memandangkan Thailand merupakan merupakan kilang utama untuk rantau ini, kami percaya ia hanya menunggu masa sebelum kemas kini ini diperkenalkan pada model spesifikasi Malaysia.
Bacaan Juga: Honda Civic e:HEV model 2026 tiba di Thailand pada bulan Julai, dilengkapi ciri S+ Shift baharu. Adakah Malaysia akan menjadi pasaran seterusnya?
Selain itu, bukan sahaja Civic versi kemaskini yang dijangka tiba tahun ini, Honda City model 2026 versi kemaskini juga diunjurkan akan dilancarkan serentak.