Bahasa Melayu
Ikuti kami
  • Facebook
  • YouTube
  • Instagram
  • TikTok
  • X
UtamaBeritaChina haramkan lampu penunjuk pemanduan autonomi biru pada kenderaan baharu

China haramkan lampu penunjuk pemanduan autonomi biru pada kenderaan baharu

Kongsi video

Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat (MIIT) China dilaporkan telah mengarahkan pengeluar kenderaan untuk menghentikan pemasangan lampu penunjuk luaran berwarna biru pada kenderaan penumpang baharu, yang berfungsi sebagai isyarat bahawa sistem bantuan pemanduan maju (ADAS) sedang aktif.

Dikenali dalam industri sebagai "lampu biru kecil", ciri ini semakin popular pada kenderaan tenaga baharu (NEV) di China sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bagaimanapun, menurut dokumen yang tersebar dalam kalangan penggiat industri, pihak pengawal selia telah mengarahkan pengeluar untuk menghentikan pemasangannya dengan serta-merta kerana tidak mematuhi peraturan pencahayaan kenderaan sedia ada di negara tersebut.

Menurut CNEVPOST, arahan itu berkuat kuasa pada 27 Julai 2026 dan terpakai kepada semua model kenderaan penumpang baharu yang mendapat kelulusan pensijilan. MIIT juga dilaporkan sedang meneliti tindakan susulan terhadap kenderaan sedia ada di jalan raya yang dilengkapi lampu berkenaan, meskipun tiada pengumuman rasmi dibuat setakat ini.

Dalam temuduga dengan media China Yicai, Geely Auto mengesahkan bahawa pihaknya maklum mengenai arahan tersebut dan akan mematuhi sepenuhnya keperluan kawal selia terbaharu itu.

Keputusan itu berpandukan piawaian pencahayaan kenderaan GB 4785-2019 China yang dikuatkuasakan pada Julai 2020. Peraturan tersebut hanya membenarkan warna putih, kuning, merah dan amber untuk pencahayaan luaran kenderaan, manakala warna biru tidak diiktiraf sebagai warna yang diluluskan untuk peranti isyarat lampu dan kekal dalam zon kelabu.

Dikenali secara rasmi sebagai Automated Driving System (ADS) Marker Lamp, penunjuk biru itu mula diperkenalkan oleh Li Auto pada model Li L9 pada tahun 2022 sebelum diguna pakai secara meluas oleh pengeluar kenderaan China yang lain, termasuk Nio, Xpeng, BYD dan Xiaomi.

Tujuan lampu ini adalah untuk memaklumkan pengguna jalan raya lain bahawa sistem bantuan pemanduan kenderaan sedang berfungsi secara aktif. Bagaimanapun, disebabkan ketiadaan piawaian kebangsaan yang seragam bagi pelaksanaannya, pengeluar menggunakan kedudukan pemasangan, tahap kecerahan dan ton warna biru yang berbeza-beza.

Ketidakseragaman ini mencetuskan kritikan yang semakin meningkat, terutamanya dari segi silau dan tahap penglihatan. Pada sesetengah kenderaan, lampu berkenaan dipasang pada paras mata pemandu di belakang, sekali gus mengganggu tumpuan ketika memandu pada waktu malam atau dalam keadaan cuaca buruk.

Langkah terbaharu ini adalah sebahagian daripada usaha lebih luas China untuk menyeragamkan reka bentuk kenderaan pintar dan mempertingkatkan keselamatan jalan raya. Sejak kebelakangan ini, pihak pengawal selia juga memperketatkan kawalan terhadap beberapa trend reka bentuk automotif baharu, termasuk pemegang pintu tersembunyi, mod pemanduan satu pedal (single-pedal), pemilih gear pada skrin sentuh dan reka bentuk stereng bukan konvensional, bagi mengimbangi aspek inovasi dengan kebolehgunaan serta keselamatan.

Walau bagaimanapun, masih belum dipastikan bagaimana pasaran lain akan bertindak balas terhadap perkembangan ini. Setakat ini, di Amerika Utara, hanya Nevada dan California yang meluluskan penggunaan lampu biru berkenaan.

Lebih dekat dengan rantau kita, ASEAN NCAP baru-baru ini telah bekerjasama dengan CAERI dari China untuk melancarkan program Penilaian Keselamatan Termaju Kenderaan Pintar (IVASA). Ia bertujuan menilai teknologi pemanduan pintar dan kenderaan autonomi, termasuk sistem bantuan pemanduan Tahap 2 (L2) dan Tahap 2+ (L2+).

Baca Juga: ASEAN NCAP lancarkan program IVASA untuk menilai sistem pemanduan pintar di Asia Tenggara

Tambahkan bitauto. my sebagai sumber keutamaan di Carian Googletambah
Semua Jenama
Kereta Popular
Kembali ke Atas
Balasan