
Mitsubishi Motors telah mendedahkan perincian baharu mengenai Pajero serba baharu menjelang debut globalnya pada musim luruh ini, sekali gus mengesahkan SUV ikonik tersebut akan mengekalkan casis ladder-frame serta menampilkan sistem Super All-Wheel Control (S-AWC) terbaharu syarikat itu.
Pada masa yang sama, laporan daripada portal Jepun Best Car melaporkan Mitsubishi sedang menilai pembangunan varian flagship Pajero Ralliart. Jika ia memasuki fasa pengeluaran, varian ini berpotensi menjadi versi generasi baharu kenderaan luar jalan yang paling berkuasa dan berkeupayaan tinggi. Best Car juga membuat spekulasi berkenaan model generasi baharu ini.
Menurut Mitsubishi, Pajero baharu dibangunkan untuk menggabungkan keupayaan off-road sebenar dengan kehalusan pemanduan jalan raya yang lebih baik. SUV ini akan terus menggunakan struktur ladder-frame yang teguh, membolehkannya menempuh laluan mencabar sambil menawarkan keselesaan pemanduan yang lebih tinggi serta mengurangkan kadar getaran semasa pemanduan harian.

Syarikat itu juga mengesahkan penggunaan sistem dinamik kenderaan bersepadu S-AWC (Super All-Wheel Control), yang sentiasa mengawal cengkaman, kestabilan dan pengendalian mengikut perubahan keadaan jalan serta pemanduan. Mitsubishi menyatakan gabungan casis baharu dan S-AWC ini direka untuk memberikan prestasi yang meyakinkan di pelbagai permukaan jalan, daripada laluan off-road yang lasak hinggalah pemanduan lebuh raya jarak jauh.
Sementara itu, laporan Best Car menyatakan Mitsubishi sedang mempertimbangkan varian Pajero Ralliart yang berorientasikan prestasi. Walaupun butiran terperinci masih terhad, portal tersebut membayangkan model itu bakal menerima gaya luaran yang unik, peningkatan casis serta penambahbaikan prestasi tambahan berinspirasikan jenama Ralliart.
Baca Juga: Spyshot! Mitsubishi Pajero 2027 generasi baharu dikesan di Thailand, pelancaran semakin hampir?
Laporan berkenaan turut menjangkakan Mitsubishi bakal menawarkan trenkuasa elektrifikasi dengan output lebih tinggi berbanding model standard, walaupun tiada sebarang spesifikasi teknikal yang disahkan buat masa ini. Seperti laporan Best Car sebelum ini, semua butiran ini dianggap sebagai spekulasi sehingga pengumuman rasmi daripada pihak Mitsubishi.
Pajero serba baharu pertama kali disahkan pada Mei tahun ini, di mana Mitsubishi menyifatkannya sebagai SUV cross-country baharu yang bakal menandakan kepulangan salah satu nama model paling ikonik dalam sejarah jenama ini.