
Malaysia terus mengukuhkan cengkaman dalam arena sim racing antarabangsa apabila Nabil Azlan muncul juara kategori Assetto Corsa di Asia-Pacific Motorsport Championship (APMC) 2026, yang berlangsung di Bira Circuit, Pattaya, Thailand.
Pelumba Malaysia berusia 24 tahun itu mempamerkan aksi cemerlang sepanjang saingan hari Sabtu dengan menjuarai pusingan Quarterfinal dan Semifinal sebelum mengesahkan kejuaraan pada perlumbaan Final.

Kejayaan ini menjadi satu lagi pencapaian bermakna buat Nabil, yang sebelum ini meraih perak dalam kategori iRacing di APMC 2025. Kali ini, beliau menampilkan aksi lebih mantap untuk menghadiahkan pingat emas buat Malaysia.
Kemenangan ini turut mengekalkan rekod cemerlang Malaysia dalam disiplin esports di kejuaraan tersebut, dengan kontinjen negara sentiasa membawa pulang sekurang-kurangnya satu emas pada setiap edisi sejak diperkenalkan pada 2023.
Turut beraksi bersama Nabil dalam kategori Assetto Corsa adalah seorang lagi wakil negara, Iqbal Suji, yang membuat penampilan sulungnya di pentas Asia-Pacific Motorsport Championship.
Pelumba berusia 28 tahun itu berjaya melepasi sesi kelayakan untuk mara ke Final, sebelum menamatkan saingan di kedudukan keenam keseluruhan menentang barisan pelumba sim racing terbaik rantau ini.
Ini merupakan pencapaian sulung yang cukup memberangsangkan buat Iqbal, memandangkan saingan sengit yang ditampilkan pada kejohanan edisi kali ini.
Bagi kategori iRacing, Malaysia diwakili oleh Raja Amirul Syauqat dan Ethen Low yang kedua-duanya membuat kemunculan pertama di APMC.
Raja, 22 tahun, berjaya mara ke Final dan memulakan perlumbaan dari petak ketujuh grid permulaan.
Namun, peluang beliau untuk mencatat keputusan cemerlang musnah selepas terbabit dalam insiden perlanggaran dengan pelumba Australia, menyebabkannya tercicir ke barisan belakang kelompok pelumba.
Walaupun berusaha keras mengejar kelompok hadapan, termasuk bertarung sengit beberapa pusingan dengan pemandu Australia terbabit, Raja sekadar mampu menebus satu kedudukan untuk menamatkan saingan di tempat kesembilan keseluruhan.
Sementara itu, Ethen Low, 16 tahun, yang merupakan peserta termuda dalam disiplin esports, mengharungi cabaran getir pada penampilan antarabangsa pertamanya.
Ethen berjaya mara sehingga ke pusingan Semifinal iRacing, namun masalah teknikal yang dialami menamatkan peluang beliau untuk melangkah ke Final.
Bagaimanapun, kejayaan menembusi Semifinal pada usia baru mencecah 16 tahun membuktikan potensi besar bakat muda Malaysia ini, sekali gus memberikannya pengalaman berharga berentap dengan pelumba sim racing handalan bertaraf antarabangsa.

Barisan pelumba skuad Malaysia
Kesemua empat wakil negara mengesahkan slot masing-masing ke kejohanan ini selepas menamatkan cabaran dalam kelompok dua teratas pada pusingan kelayakan kebangsaan yang diiktiraf oleh Motorsports Association of Malaysia (MAM).
Skuad kebangsaan bersaing sengit dengan atlet esports dari lebih 15 negara, mencerminkan tahap prestij dan saingan tinggi pada edisi kali ini.
Pasukan ini mewakili Malaysia di bawah naungan MAM, dengan sokongan Esports Integrated (ESI) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Malaysia Esports Accelerator Programme (MEAP).
Dianjurkan oleh Royal Automobile Association of Thailand (RAAT), Asia-Pacific Motorsport Championship 2026 yang berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober lalu menghimpunkan barisan peserta dari seluruh rantau Asia Pasifik dalam lima disiplin sukan permotoran.

Your go-to source for all things automotive in Malaysia. 🚗 Latest reviews, breaking news, launches & industry trends.
+ Follow
Next-gen Toyota MR2? Next-gen Toyota Celica? Lots of tongues wagging from Toyota's newest reveal!
#toyota #celica #mr2 #GRYaris 1 minute ago Get the latest car news first!

Your go-to source for all things automotive in Malaysia. 🚗 Latest reviews, breaking news, launches & industry trends.
Next-gen Toyota MR2? Next-gen Toyota Celica? Lots of tongues wagging from Toyota's newest reveal!
#toyota #celica #mr2 #GRYaris 1 minute ago