Bahasa Melayu
Muat turun Aplikasi
Ikuti kami
  • Facebook
  • YouTube
  • Instagram
  • TikTok
  • X
UtamaBeritaMengimbau Nostalgia: Suzuki Alto, Kereta Kompak Jepun yang Pernah Lebih Murah Daripada Perodua

Mengimbau Nostalgia: Suzuki Alto, Kereta Kompak Jepun yang Pernah Lebih Murah Daripada Perodua

Kongsi video

Suzuki Alto: Kereta Kompak Import Paling Mampu Milik

Jenama Jepun Bawah RM50,000

Pada tahun 2010 di Malaysia, jika mahu membeli kereta baharu bawah RM50,000, pilihan hampir terhad kepada kereta nasional semata-mata: Perodua Viva, Proton Savvy, atau model kompak Korea yang sedikit lebih mahal. Jenama Jepun? Semuanya bermula dari RM60,000 ke RM70,000 ke atas, langsung di luar lingkungan bajet ini.

Namun pada 10 Ogos tahun itu, Suzuki Malaysia Automobile telah melancarkan sebuah hatchback kompak yang memecahkan kebiasaan pasaran: Suzuki Alto, dengan varian asas bermula serendah RM44,888. Buat sekian lamanya, inilah model baharu jenama Jepun pertama yang dijual bawah RM50,000. Didatangkan sebagai unit CBU sepenuhnya, berenjin 1.0 liter 3-silinder, dengan lambang 'S' yang cukup menyerlah di belakang.

Namun pada "pasport" kelahirannya, ia bukanlah dari Jepun.

Nama Jepun, Buatan India

Nama Alto sebenarnya sudah wujud sejak 1979 lagi, dan di Jepun ia merupakan sebuah Kei car tulen. Namun Alto yang mendarat di Malaysia ini, selain nama yang dikongsi, hampir tiada kaitan langsung dengan versi Jepun. Ia merupakan Alto generasi ketujuh yang dibangunkan khas untuk pasaran global, dipasang di kilang Manesar milik Maruti Suzuki di India yang bertindak sebagai hab pengeluaran globalnya.

Suzuki Alto "JDM" dari generasi pertama hingga ketujuh

Di pasaran India, nama Alto ialah sebuah legenda. Sejak 2006, ia muncul sebagai model paling laris di sana dengan jumlah pengeluaran melepasi angka sejuta unit pada 2008, malah jualannya boleh mencecah lebih 20,000 unit sebulan. Lebih separuh daripada unit eksport kilang Manesar dihantar ke Eropah, manakala di Australia, Alto terus dinobatkan antara kereta baharu paling murah sejurus dilancarkan. Jadi, walaupun berlogo jenama Jepun, falsafah rekaannya berpaksikan realiti pasaran India: murah, jimat petrol, tahan lasak, dan tidak banyak kerenah.

Maruti Suzuki Alto yang bukan JDM secara teknikal, boleh dianggap sebagai Alto India generasi pertama merangkap "versi mampu milik" Alto generasi ketujuh

Nadi kuasanya ialah enjin K10B 996cc 3-silinder yang menjana sekitar 67 hingga 68 PS dan tork 90Nm, dipadankan bersama transmisi manual 5-kelajuan atau automatik 4-kelajuan. Dengan ukuran panjang 3.5 meter dan jarak roda 2,360mm, dimensinya yang kompak membuatkan sesi memarkir di petak biasa terasa begitu santai. Bagi varian automatik, tombol gearnya menggunakan rekaan jenis gated shifter sama seperti Swift, membawakan sedikit sentuhan model abang besarnya.

Alto di Malaysia: Tiga Varian, Empat Tempat Duduk

Di pasaran tempatan, Alto ditawarkan dalam tiga varian: GA (manual) berharga RM44,888, GLX (automatik) berharga RM49,888 dengan tambahan ABS serta EBD; manakala varian tertinggi GXS berharga RM54,888 dengan penambahan cermin gelap keselamatan, kerusi balutan kulit, door visor, dan kit badan. Kesemua unit dibawa masuk secara CBU dari India bersama waranti 3 tahun atau 100,000 km.

Langkah penjimatan kos pada model ini memang ketara. Tingkap pintu belakang menggunakan engkol manual, cermin sisi perlu dilaras sendiri secara manual, malah tempat duduk belakang hanya dilengkapi dua tali pinggang keledar menjadikannya secara rasmi kereta 4 tempat duduk. Berdepan saingan seperti Viva, Savvy, Hyundai i10, dan Kia Picanto, model ini hanya cuba meyakinkan pembeli Malaysia dengan satu perkara: pada julat harga sekitar RM50,000, anda boleh memandu sebuah kereta jenama Jepun.

Bagaimana sambutan pasaran tempatan? Mengikut rekod pendaftaran JPJ, tahun terbaik Alto di Malaysia ialah pada 2011 dengan 976 unit, manakala bulan terbaik dicatatkan pada Mac 2012 dengan 153 unit. Dari pendaftaran pertama pada Julai 2010 hingga ke hari ini, sejumlah 2,783 unit telah didaftarkan dengan warna putih mendominasi sebanyak 27.2%. Namun berbanding Swift yang terjual lebih 40,000 unit di Malaysia dengan 6,299 unit pada 2012 sahaja, angka Alto kekal sekadar model niche.

Mencabar Dominasi Kancil dan Viva

Untuk memahami nasib Alto, kita perlu melihat siapa raja segmen kompak di Malaysia. Hakikatnya, pasaran ini dikuasai sepenuhnya oleh Perodua. Sebelum kehadiran Alto, Kancil telah sekian lama menjadi kereta pertama rakyat Malaysia, malah data JPJ mencatatkan sebanyak 73,958 unit didaftarkan pada tahun 2001 sahaja, kedua tertinggi di Malaysia mengekori Proton Wira. Legasi itu kemudian diteruskan oleh Viva; pendek kata, definisi kereta kompak tempatan sentiasa ditulis oleh Perodua.

Alto pula meletakkan dirinya pada julat harga yang agak unik. Ia lebih mahal daripada model bajet nasional, tetapi jauh lebih murah berbanding mana-mana kereta Jepun lain. Bagi segelintir pembeli, perbezaan harga itu sanggup dibayar demi sentimen "tidak mahu memandu kereta nasional". Di forum maya ketika itu, ada juga yang berkira dari sudut pembiayaan: kadar faedah pinjaman kereta nasional lebih tinggi, manakala Alto sebagai unit CBU menikmati kadar faedah bank yang sedikit lebih rendah.

Namun realitinya, dalam pasaran yang melindungi industri automotif nasional, model import yang mahu beradu harga dengan kereta tempatan sememangnya berdepan saingan yang tidak seimbang. Pakej spesifikasi Alto sebenarnya tidak mengecewakan dan penggunaan petrolnya terbukti sangat menjimatkan, tetapi status CBU meletakkannya pada struktur cukai yang jauh berbeza berbanding kereta CKD tempatan. Sebaik Perodua melancarkan Axia pada 2014, sebarang sisa persaingan buat Alto terus menemui titik noktah.

Mengapa Alto Menghilang dari Pasaran

Angka jualan Alto mula merosot selepas 2011, namun penamat sebenarnya berlaku di bilik mesyuarat korporat. Pada 15 Jun 2015, Suzuki memeterai memorandum persefahaman dan perjanjian pelesenan bersama Proton dan DRB-HICOM, yang menyaksikan jenama Suzuki menarik diri daripada menjual kenderaan mereka sendiri di Malaysia. Menjelang Januari 2016, kesemua 29 bilik pameran Suzuki diserap masuk di bawah Proton Edar. Satu-satunya hasil daripada pakatan ini ialah Proton Ertiga, dan selepas Proton menjalinkan kerjasama strategik bersama Geely, pakatan tersebut terkubur begitu sahaja.

Suzuki hanya membuat kemunculan semula di Malaysia pada 2021 di bawah pengedar baharu, Naza Eastern Motors milik Kumpulan Naza, dengan taruhan utama seperti Jimny dan Swift Sport. Bagaimana pula dengan Alto? Di pasaran Jepun hari ini, Alto kekal sebagai Kei car 660cc, dan proses mendapatkan pensijilan VTA mengikut piawaian UNECE di Malaysia memerlukan kos dan usaha yang tinggi, membuatkan peluang kepulangannya hampir mustahil.

Menariknya, semakan data JPJ menunjukkan masih terdapat segelintir pendaftaran baharu Alto sehingga tahun 2026. Unit-unit ini bukanlah model CBU India dahulu, sebaliknya Kei car versi recond yang diimport khas dari Jepun. Satu lencana nama yang sama, tetapi melalui dua laluan berbeza di bumi Malaysia.

Kebanyakan Suzuki Alto generasi kelapan yang dibawa masuk menerusi pasaran recond ialah varian istimewa Suzuki Alto Works talaan bengkel tersohor Works, yang mempunyai pengikut setia dalam komuniti peminat Kei car tempatan. Berdasarkan tinjauan semasa kami, pocket rocket kompak ini boleh dimiliki pada julat harga sekitar RM70,000 hingga RM80,000.

Nilai Pasaran Terpakai Kini dan Satu Persoalan

Model yang dahulunya bermula pada harga RM44,888, berapa pula nilainya pada hari ini? Menerusi platform jual beli kenderaan terpakai pada September 2026, hanya terdapat 11 unit Alto yang diiklankan di seluruh negara dengan tawaran harga antara RM5,000 hingga RM10,800, serta nilai median sekitar RM7,800. Sebuah varian GLX automatik tahun 2011 dengan jarak perbatuan 140,000 km misalnya disenaraikan pada harga RM7,888.

Dengan bajet sekitar RM7,000 lebih, harganya setaraf sebuah motosikal kapcai yang baik. Bagi lepasan sekolah yang baru mendapat lesen dan mencari kereta bajet untuk berulang-alik, atau keluarga yang memerlukan kereta kedua mahupun ketiga untuk ke pasar, harganya memang sangat menggoda. Namun pembeli perlu sedar: pengedar rasmi sudah lama bertukar tangan dan wakil pengedar semasa hanya memberi tumpuan kepada servis barisan model generasi baharu, bermakna urusan alat ganti perlu bergantung harap kepada pakar bengkel luar.

Jika anda berada pada era itu dengan bajet RM50,000, adakah anda akan memilih jenama Jepun buatan India, atau sebuah Viva yang jauh lebih murah? Pernahkah anda atau kenalan terdekat memandu Alto? Kongsikan pandangan anda di ruangan komen.

Apa pun, bagi keluarga penulis sendiri pada era tersebut, pilihan akhirnya jatuh kepada sebuah model yang jauh lebih unik, iaitu Proton Savvy.

Follow Facebook

BitAuto.my 205.9K followers

Your go-to source for all things automotive in Malaysia. 🚗 Latest reviews, breaking news, launches & industry trends.

+ Follow

Get the latest car news first!

BitAuto.my

Your go-to source for all things automotive in Malaysia. 🚗 Latest reviews, breaking news, launches & industry trends.

205.9K followers + Follow
Zeekr Lounge X Park Sunway Serene is now live, and owners can enjoy lounge access 24/7! There'll even be sales advisors on standby if you're looking to update ;) #zeekr 1 day ago 70,000 wire harness types and China breathing down their neck 😅🇯🇵 Japanese brands are finally teaming up on basic parts to save cash for next-gen cars. Tap in 👇 1 day ago Yangwang U8 and U9 otw to Malaysia? 👀🔥 BYD Malaysia posted dancing cars on track—not local footage, so is a launch imminent? Tap in 👇 1 day ago
Kembali ke Atas
Balasan