
Gambar intip terbaharu AMA02 Proton Saga Cross kini dikesan di Malaysia, menawarkan perincian paling jelas setakat ini bagi model gaya crossover kompak yang bakal tiba, sekali gus memberi bayangan bahawa Proton mungkin sedang menguji sekurang-kurangnya dua varian berbeza secara serentak.
Imej terbaharu ini dikongsi di platform Threads oleh beberapa akaun individu sebelum dikongsi semula oleh rakan media kami di Funtasticko. Gambar tersebut turut mendedahkan buat pertama kalinya susunan bolt rim 5-lug pada model ini. Perincian ini menonjol memandangkan Saga Cross dibina berasaskan platform AMA yang juga menjadi asas Saga MC3, dan model tersebut menggunakan rekaan 4-lug.
Situasi yang serupa dapat dilihat pada Perodua Ativa dan varian hibridnya. Ativa turbo standard menggunakan susunan nat bolt 4×100, manakala varian hibrid pula menggunakan susunan nat bolt 5×100.
Gambar intip terbaharu menunjukkan Saga Cross AMA 02 sedang dibangunkan dengan profil hatchback-crossover, menampilkan ketinggian menunggang (ride height) yang agak rendah serta badan kenderaan yang kelihatan lebih panjang berbanding hatchback kompak konvensional.

Gambar pandangan sisi memaparkan dua unit ujian yang berasingan. Berdasarkan perbezaan rekaan rim, spoiler belakang, serta kehadiran roof rails pada satu unit dan ketiadaan pada unit yang lain, kedua-duanya dipercayai mewakili konfigurasi powertrain dan/atau tahap varian yang berbeza.
Saga Cross AMA 02 difahamkan dibina berasaskan platform Advanced Modular Architecture (AMA) Proton. Model ini dijangka ditawarkan dengan dua pilihan trenkuasa: enjin pembakaran dalaman (ICE) aspirasi semula jadi (NA) dan sistem hibrid.

Bagi versi ICE, desas-desus menunjukkan ia akan dikuasakan oleh enjin yang sama seperti Saga MC3, iaitu unit enjin 1.5-liter i-GT empat silinder BHE15 yang menghasilkan 120 PS dan 150 Nm. Ini berkemungkinan menjadi trenkuasa untuk varian asas (entry-level) AMA02 Saga Cross.
Varian hibrid pula dijangka menggunakan enjin Dedicated Hybrid Engine (DHE) 1.5-liter yang menghasilkan 82 kW dan 136 Nm, dipadankan dengan Dedicated Hybrid Transmission (DHT).
Baca Juga: Spied! Mungkinkah ini kelibat AMA02 Proton Saga Cross?

Menurut maklumat yang diperoleh daripada sumber gambar intip tempatan, Saga Cross AMA 02 mungkin dilancarkan dengan empat varian keseluruhan, termasuk satu varian HEV.
Persediaan pengeluaran juga dilaporkan sedang dijalankan di kilang Proton Tanjung Malim. Fasa pengeluaran percubaan (trial production) dijangka bermula sekitar bulan Ogos, manakala pengeluaran massa (mass production) dijangka bermula pada penghujung Oktober.