
Proton eMas telah melepasi jualan kenderaan kumulatif sebanyak 20,000 unit dalam masa kurang daripada tujuh bulan, menjadikannya jenama kenderaan elektrifikasi (xEV) terpantas di Malaysia yang mencapai pencapaian ini di Malaysia.
Diumumkan oleh PRO-NET, pencapaian ini mengukuhkan lagi kedudukan Proton eMas sebagai jenama xEV terlaris di Malaysia, dengan syarikat itu menguasai 42.6% pegangan pasaran EV negara dan 41.8% pegangan pasaran xEV keseluruhan sepanjang separuh pertama tahun 2026.
Baca Juga: Proton eMas 5 vs kembar globalnya, ini apa yang kita dapat dan tidak dapat

Model Proton eMas 5 menyumbang sebanyak 60.9% daripada keseluruhan jualan, menjadikannya model terlaris jenama itu seiring dengan langkah lebih ramai rakyat Malaysia beralih kepada mobiliti elektrik mampu milik. Sementara itu, Proton eMas 7 menyumbang sebanyak 15.8%, manakala Proton eMas 7 PHEV yang baru diperkenalkan merangkumi baki 23.3%, sekali gus mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap SUV plug-in hybrid.

CEO PRO-NET, Zhang Qiang, mengaitkan pencapaian ini dengan kepercayaan dan keyakinan yang ditunjukkan oleh pelanggan di Malaysia.
"Melepasi 20,000 jualan kenderaan dalam masa kurang daripada tujuh bulan tidak mungkin dapat dicapai tanpa keyakinan dan sokongan padu daripada rakyat Malaysia yang telah memilih Proton eMas. Bagi pihak warga PRO-NET, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada setiap pelanggan yang meletakkan kepercayaan mereka kepada kami," katanya.
Selain daripada pencapaian jualan tersebut, PRO-NET menyatakan Proton terus menyokong usaha kerajaan untuk mempercepatkan mobiliti rendah karbon melalui pengembangan portfolio kenderaan elektrifikasinya.

Syarikat itu menjelaskan bahawa Proton eMas menyumbang kepada objektif yang digariskan dalam Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). Ia dilakukan dengan menjadikan kenderaan elektrik lebih mudah diakses orang ramai, di samping memperkukuh ekosistem sokongan EV tempatan.
Seiring dengan rangkaian produk yang semakin berkembang, Proton eMas terus melabur dalam ekosistem pemiliknya melalui peluasan rangkaian pengedar dan pusat servis selepas jualan, serta kerjasama dengan penyedia pengecasan bagi meningkatkan akses pengecasan di seluruh negara.

Melangkah ke hadapan, PRO-NET berkata ia akan terus melabur dalam produk baharu, pengalaman pelanggan dan pembangunan ekosistem demi mempercepatkan penerimaan EV di Malaysia, di samping memperkukuh kedudukan Proton eMas dalam pasaran kenderaan elektrifikasi negara yang semakin berkembang.