Mitsubishi Motors telah mengumumkan kejayaan cemerlang Outlander PHEV yang berjaya mengekalkan takhta sebagai kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) paling laris di Jepun bagi tahun kewangan 2025. Prestasi ini menandakan tahun kedua berturut-turut model tersebut mendominasi kategori PHEV di pasaran domestik negara matahari terbit itu.
Sebanyak 7,794 unit Outlander PHEV telah berjaya dijual sepanjang tempoh tersebut, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pilihan utama pengguna yang mahukan fleksibiliti kenderaan elektrik. Pencapaian terkini ini menambah lagi rekod kecemerlangan model tersebut, dengan jualan terkumpul di Jepun telah melepasi angka 100,000 unit setakat Mac 2025.

Kejayaan Outlander PHEV ini berakar umbi daripada komitmen panjang Mitsubishi dalam bidang elektrifikasi, yang bermula sejak tahun 1964. Syarikat automotif itu memainkan peranan penting dalam perkembangan kenderaan elektrik global, termasuk melancarkan i-MiEV sebagai kenderaan elektrik pengeluaran besar-besaran pertama dunia pada 2009. Outlander PHEV sendiri dilancarkan pada 2013 sebagai SUV hibrid plug-in pertama di dunia.
Outlander PHEV direka sebagai model utama yang menggabungkan kegunaan harian sebagai kenderaan elektrik tulen dengan keupayaan perjalanan jarak jauh sebagai hibrid. Generasi kedua model ini dilancarkan pada 2021 berdasarkan konsep produk "I-Fu-Do-Do" yang membawa maksud tulen dan agung.

Pada Oktober 2024, Mitsubishi memperkenalkan model kemas kini yang dilengkapi bateri pemacu baharu bagi meningkatkan jarak gerak dalam mod EV serta prestasi pecutan. Model terkini ini turut menampilkan penambahbaikan pada kualiti reka bentuk dalaman dan luaran, serta dilengkapi sistem audio hasil kerjasama dengan Yamaha Corporation sebagai ciri standard untuk semua varian.
Dari segi teknikal, Outlander PHEV dikuasakan oleh enjin petrol 4B12 2.4 liter MIVEC yang menghasilkan 133 ps (98 kW) kuasa dan tork maksimum 195 Nm. Sistem elektriknya pula menggunakan dua motor elektrik, dengan motor depan menghasilkan 85 kW (115 ps) dan tork 255 Nm, manakala motor belakang menjana 100 kW (136 ps) dengan tork 195 Nm.
Kenderaan ini menggunakan bateri pemacu litium-ion berkapasiti 22.7 kWj yang membolehkan jarak gerak dalam mod EV antara 102 km hingga 106 km mengikut piawaian WLTC. Dengan sokongan tangki bahan api berkapasiti 53 liter, Outlander PHEV mencatatkan penggunaan bahan api hibrid antara 17.2 km/L hingga 17.6 km/L.

Dari segi harga, Mitsubishi Outlander PHEV ditawarkan dalam pelbagai varian. Harga bermula daripada kira-kira RM 131,616 untuk varian M dengan lima tempat duduk, manakala varian tertinggi BLACK Edition dengan tujuh tempat duduk berharga sekitar RM 169,709.
Kejayaan berterusan Outlander PHEV di Jepun membuktikan penerimaan positif pengguna terhadap teknologi kenderaan elektrik hibrid, sekaligus mengukuhkan reputasi Mitsubishi sebagai peneraju dalam bidang elektrifikasi kenderaan.