
Honda Prelude-GT baharu telah merangkul kejuaraan pemandu dan pasukan Super GT GT500 2026 dalam musim debutnya, susulan kemenangan pada pusingan penutup musim di Mobility Resort Motegi, Jepun, pada 8 November.
Jentera No. 100 Stanley HRC Prelude-GT, yang dipandu oleh Naoki Yamamoto dan Tadasuke Makino daripada Stanley Team Kunimitsu, bermula dari petak pertama sebelum menjuarai perlumbaan 53 pusingan itu, sekali gus mengunci kejuaraan GT500 pertama Honda sejak 2020.
Gandingan tersebut mendahului 42 daripada 53 pusingan, dengan Makino melintasi garisan penamat 1.705 saat di hadapan No. 17 Astemo HRC Prelude-GT. Keputusan itu membolehkan Honda mencatat penamat satu-dua, manakala Nissan Z NISMO GT500 milik Team Impul melengkapkan kedudukan podium.

Kejayaan ini amat bermakna memandangkan Prelude GT berdepan permulaan musim yang penuh mencabar.
Diperkenalkan sebagai pengganti Civic Type R-GT, Prelude GT pada mulanya bergelut menyaingi pencabar utamanya, terutamanya Toyota GR Supra GT500.
Bagaimanapun, usaha pembangunan berterusan oleh Honda Racing Corporation (HRC) berjaya meningkatkan daya saing jentera tersebut, dengan lonjakan prestasi dicapai di Fuji Speedway pada Ogos, di mana Stanley Team Kunimitsu meraih kemenangan sulungnya.
Pengeluar itu akhirnya merekodkan lima kemenangan perlumbaan dan enam petak pertama menerusi lima penyertaan Prelude-GT sepanjang musim, dengan kesemua lima kemenangan diraih dalam enam perlumbaan terakhir.

Perebutan takhta kejuaraan berlanjutan sehingga ke hujung minggu penutup, yang menampilkan dua perlumbaan pada 7 dan 8 November.
Perlumbaan hari Sabtu merupakan pusingan ketiga yang ditunda, yang pada asalnya dijadualkan berlangsung di Sepang International Circuit, Malaysia.
Yamamoto dan Makino menamatkan perlumbaan di tempat kelima, meletakkan mereka di hadapan pencabar kejuaraan Sho Tsuboi dan Kenta Yamashita yang memandu No. 36 au Tom's GR Supra, yang sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kesepuluh.

Kelebihan tipis ini memihak kepada Honda menjelang perlumbaan penentu pada hari Ahad, menyaksikan No. 100 Prelude-GT membolot petak pertama dengan catatan masa sepusingan 1:36.135.
Yamamoto mendahului sejak awal sebelum menyerahkan jentera kepada Makino, yang mengekalkan penguasaan tersebut lalu mengesahkan kejuaraan menerusi kemenangan mutlak. Keputusan ini menandakan gelaran pemandu GT500 ketiga buat Yamamoto dan yang kedua untuk Makino, selepas kedua-duanya pernah muncul juara bersama pada 2020.

Dalam kenyataan rasmi pasca perlumbaan Honda, Pengarah Pasukan Stanley Team Kunimitsu Kazuhiro Kojima memuji barisan jurutera Honda dan HRC yang berjaya mentransformasikan prestasi Prelude-GT sepanjang musim.
Kojima menjelaskan bahawa peningkatan yang diperkenalkan semasa cuti musim panas membantu pasukan bangkit daripada kesukaran pusingan awal, manakala kemenangan di Fuji memberikan momentum penting untuk memburu takhta kejuaraan.

Presiden HRC Koji Watanabe turut mengucapkan tahniah kepada barisan pemandu dan pasukan pembangunan, menghargai kerja keras yang dicurahkan bagi merangkul kejuaraan dengan sebuah jentera lumba serba baharu.
Pencapaian ini amat bermakna buat Stanley Team Kunimitsu, yang sebelum ini menamatkan musim sebagai naib juara dalam kedudukan pemandu GT500 pada 2024 dan 2025.
Dengan lima kemenangan perlumbaan, enam petak pertama serta merangkul kedua-dua gelaran kejuaraan pada musim sulungnya, Prelude-GT menandakan kepulangan cemerlang Honda ke puncak kategori perlumbaan GT premier Jepun, sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan enam tahun pada percubaan pertamanya.

Your go-to source for all things automotive in Malaysia. 🚗 Latest reviews, breaking news, launches & industry trends.
+ Follow
Get ready for the debut of Audi E7X and E5 Sportback Special Edition!
Could these tech-packed luxury EVs eventually make their way towards Malaysia? 1 minute ago
Upgrades for the Proton e.Mas 5's twin - new electronically operated frunk, bodykit, new rims, and interior. Do you want these too?
#proton #emas5 #Geely 1 minute ago
Did you see Proton's latest post? There's a really big teaser...
#proton #s70RS 1 minute ago Get the latest car news first!

Your go-to source for all things automotive in Malaysia. 🚗 Latest reviews, breaking news, launches & industry trends.
Get ready for the debut of Audi E7X and E5 Sportback Special Edition!
Could these tech-packed luxury EVs eventually make their way towards Malaysia? 1 minute ago
Upgrades for the Proton e.Mas 5's twin - new electronically operated frunk, bodykit, new rims, and interior. Do you want these too?
#proton #emas5 #Geely 1 minute ago
Did you see Proton's latest post? There's a really big teaser...
#proton #s70RS 1 minute ago