Bahasa Melayu
Muat turun Aplikasi
Ikuti kami
  • Facebook
  • YouTube
  • Instagram
  • TikTok
  • X
UtamaBeritaToyota GR GT3 lengkapkan hujung minggu perlumbaan pertama tanpa masalah, tamatkan kedua-dua perlumbaan Super GT di Motegi sebagai pencapaian penting dalam fasa pembangunan

Toyota GR GT3 lengkapkan hujung minggu perlumbaan pertama tanpa masalah, tamatkan kedua-dua perlumbaan Super GT di Motegi sebagai pencapaian penting dalam fasa pembangunan

Jentera GR GT3 yang sekian lama dinantikan oleh Toyota telah berjaya menamatkan hujung minggu perlumbaan kompetitif sulungnya, melengkapkan kedua-dua perlumbaan pusingan double-header Super GT 2026 di Mobility Resort Motegi, Jepun, pada 7 dan 8 November tanpa sebarang isu mekanikal utama.

Didaftarkan oleh Team Eneos Rookie di bawah nama GR GT3 Concept, jentera No. 32 itu dipandu oleh Hiroaki Ishiura dan Tokiya Suzuki dalam kategori GT300. Hujung minggu tersebut menandakan kali pertama jentera GT3 generasi baharu Toyota bersaing dalam perlumbaan sebenar, susulan beberapa tahun fasa pembangunan dan sesi ujian tertutup.

Namun begitu, GR GT3 tidak bertanding sebagai pencabar kejuaraan konvensional. Memandangkan jentera ini masih belum melengkapkan proses homologasi GT3, ia beraksi sebagai open entry yang diluluskan khas, membolehkan Toyota menilai jentera tersebut dalam keadaan perlumbaan sebenar tanpa layak mengutip mata kejuaraan.

Objektif utamanya adalah untuk mengumpul data pembangunan dan mengenal pasti aspek penambahbaikan menjelang penampilan sulung perlumbaan yang lebih meluas pada 2027, dan bukannya mengejar keputusan semata-mata.

Pada hari Sabtu, GR GT3 menduduki petak ke-27 dalam sesi kelayakan kelas GT300 sebelum mempamerkan peningkatan untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-19, satu pusingan di belakang pemenang kelas. Pada keesokan harinya, jentera ini mencatatkan rentak kelayakan yang lebih baik dan menamatkan perlumbaan hari Ahad sekali lagi dengan ketinggalan satu pusingan, dan diklasifikasikan secara rasmi di tempat ke-24.

Lebih penting bagi Toyota, GR GT3 berjaya menamatkan kedua-dua perlumbaan tanpa sebarang masalah mekanikal utama. 

Perlumbaan sebenar dedahkan aspek penting dalam pembangunan

Bercakap kepada Sportscar365 pada 6 November, Ishiura, yang terlibat secara langsung dalam pembangunan GR GT3, menjelaskan bahawa keputusan untuk menurunkan jentera ini dalam perlumbaan sebenar telah terbukti membawa manfaat sejak sesi latihan hari Jumaat lagi.

Menurut Ishiura, beberapa isu operasi hanya dapat dikesan apabila sesebuah jentera berdepan dengan tekanan sebenar sepanjang hujung minggu perlumbaan, terutamanya ketika hentian pit dan pertukaran pemandu.

Antara aspek yang dikenal pasti termasuk mekanisme pedal boleh laras, yang perlu dilaras semula dengan pantas mengikut kesesuaian pemandu berbeza, serta operasi klac semasa keluar dari pit dengan stereng dalam keadaan berbelok.

Walaupun perkara ini kelihatan seperti perincian kecil, kepentingannya terserlah semasa hentian pit yang kompetitif, di mana pemandu dan mekanik perlu bertindak pantas tanpa menjejaskan kebolehpercayaan jentera.

Ishiura turut menekankan satu lagi aspek penting: tahap keterlihatan dari kokpit ketika bersaing di celah-celah jentera lain.

Kebanyakan sesi ujian GR GT3 sebelum ini dijalankan secara solo di litar, menjadikannya sukar untuk menilai tahap penglihatan dengan tepat apabila dikelilingi oleh jentera GT300 yang lain.

Ketika bercakap secara berasingan dalam sidang media di Motegi seperti yang dilaporkan oleh media automotif Jepun Car Watch, Ishiura menyatakan rasa puas hati terhadap drivability keseluruhan GR GT3.

Beliau menjelaskan bahawa jentera ini terasa intuitif untuk dikendalikan dan mampu dipacu pada kelajuan perlumbaan sebaik sahaja memasuki litar, sekali gus membuktikan kerja pembangunan Toyota telah membina asas yang cukup kukuh.

Keselesaan kokpit serta kemudahan pengendalian jentera ini turut memberi petanda positif, terutamanya kerana GR GT3 dibangunkan khusus untuk pasukan perlumbaan pelanggan yang dibarisi pemandu dengan pelbagai tahap pengalaman.

Mengapa membuat penampilan sulung dalam Super GT?

Ketua jurutera Toyota GR GT3, Takashi Doi, turut menjelaskan rasional di sebalik pemilihan Super GT sebagai medan untuk penampilan sulung kompetitif jentera tersebut.

Bercakap kepada media Jepun Motorsport.com Japan semasa hujung minggu di Motegi, Doi berkata Toyota telah menjalankan pelbagai ujian litar sepanjang program pembangunan, namun mereka sentiasa mencari peluang untuk menilai jentera tersebut dalam keadaan perlumbaan sebenar.

Susulan perbincangan bersama Team Eneos Rookie, pasukan berkenaan telah memperoleh kebenaran khas untuk menurunkan GR GT3 Concept dalam kategori GT300.

Keputusan ini memberi peluang kepada Toyota untuk menguji jentera tersebut bersaing secara terus dengan pesaing GT3 sedia ada, berbanding hanya bergantung sepenuhnya kepada sesi ujian persendirian.

Kategori GT300 dalam Super GT dibarisi jentera daripada pengeluar ternama seperti Porsche, Mercedes-AMG, Lamborghini dan Nissan, sekali gus menawarkan persekitaran terbaik buat Toyota untuk menilai prestasi serta dinamik GR GT3 ketika bersaing rapat dengan jentera lain.

Doi turut menegaskan bahawa proses pembangunan masih berjalan rancak, dan penampilan di Motegi bertujuan untuk memberi peluang tambahan bagi memperhalusi jentera tersebut sebelum diperkenalkan kepada pasukan pelanggan.

GR GT3 jentera lumba pelanggan generasi baharu Toyota

GR GT3 pertama kali dipertontonkan di Tokyo Auto Salon pada Januari 2022, sebelum menjalani program ujian intensif di pelbagai litar di seluruh dunia.

Jentera pacuan roda belakang dengan enjin di hadapan ini dikuasakan oleh unit V8 twin-turbo, berbeza daripada enjin V8 naturally aspirated yang digunakan oleh jentera veteran Lexus RC F GT3.

Ia dibangunkan sebagai platform perlumbaan pelanggan generasi baharu Toyota, dengan tumpuan khusus terhadap prestasi aerodinamik, kebolehpercayaan serta kemudahan pengendalian.

GR GT3 dijangka menggantikan tempat Lexus RC F GT3 dalam kancah perlumbaan antarabangsa, dengan program perlumbaan yang lebih meluas dijadualkan bermula pada tahun 2027.

Follow Facebook

BitAuto.my 206.5K followers

Your go-to source for all things automotive in Malaysia. 🚗 Latest reviews, breaking news, launches & industry trends.

+ Follow

Get the latest car news first!

BitAuto.my

Your go-to source for all things automotive in Malaysia. 🚗 Latest reviews, breaking news, launches & industry trends.

206.5K followers + Follow
Get ready for the debut of Audi E7X and E5 Sportback Special Edition! Could these tech-packed luxury EVs eventually make their way towards Malaysia? 1 minute ago Upgrades for the Proton e.Mas 5's twin - new electronically operated frunk, bodykit, new rims, and interior. Do you want these too? #proton #emas5 #Geely 1 minute ago Did you see Proton's latest post? There's a really big teaser... #proton #s70RS 1 minute ago
Kembali ke Atas
Balasan