
Proton mencatatkan prestasi jualan bulanan kedua terbaiknya untuk tahun 2026 pada Julai dengan penyerahan 18,442 unit kenderaan, iaitu peningkatan 14.9% berbanding dengan bulan Jun. Jumlah tersebut merangkumi jualan domestik, eksport, serta penghantaran bagi jenama Proton eMas dan smart.
Pengeluar kereta nasional itu kini telah menjual 118,788 unit kenderaan dalam tempoh tujuh bulan pertama 2026, meningkat 38.7% tahun-ke-tahun (YoY). Berdasarkan unjuran Jumlah Jualan Industri (TIV), Proton menjangkakan bahagian pasaran tahun‑ke‑tarikh (YTD) sebanyak 25.8% pada akhir Julai, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai antara jenama automotif terkemuka di Malaysia.
Proton Saga terus menerajui carta jualan syarikat dengan 7,814 unit diserahkan pada Julai, sekali gus membawa jualan terkumpul kepada 52,189 unit. Sedan segmen-A itu kekal di landasan tepat untuk mencatatkan satu lagi tahun pecah rekod.

Proton S70 mengekalkan kedudukannya sebagai sedan segmen-C paling laris di Malaysia dengan pendaftaran sebanyak 2,857 unit, sekali gus meningkatkan jualan YTD kepada 15,689 unit.
Sementara itu, Proton X50 kekal sebagai SUV paling laris di negara ini dan terus menerajui pasaran SUV segmen-B dengan 2,291 unit terjual pada bulan berkenaan. Jumlah penyerahan kini mencecah 17,636 unit bagi tahun 2026.
Proton X90 turut mengekalkan penguasaannya dalam segmen SUV tujuh tempat duduk segmen-D, dengan mencatatkan jualan sebanyak 441 unit pada Julai, iaitu prestasi jualan bulanan kedua tertinggi model itu tahun ini.

Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Timbalan CEO Proton, Dato' Ir. Abdul Rashid Musa berkata prestasi terbaharu syarikat mencerminkan keyakinan berterusan pelanggan terhadap produk mereka, yang disokong oleh penambahbaikan berterusan dalam kualiti produk, penyetempatan, pembuatan dan perkhidmatan selepas jualan.
Jualan Proton dijangka terus meningkat pada akhir tahun ini dengan pengenalan Proton Saga Cross yang berasaskan platform AMA2.

Julai turut menyaksikan pencapaian bulanan terbaik dalam sejarah Proton eMas, berikutan perluasan rangkaian runcit serta permulaan pengeluaran tempatan bagi Proton eMas 7 PHEV.

Sepanjang bulan tersebut, Proton membuka enam cawangan pengedar Proton eMas baharu, menjadikan rangkaiannya di seluruh negara kini mencecah 58 cawangan jualan dan 45 pusat servis. Syarikat itu turut meraikan majlis 'line-off' rasmi bagi model eMas 7 PHEV yang dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Tanjung Malim.
Baca Juga: Proton buka 10 cawangan baharu di seluruh negara dalam 10 hari, perluas rangkaian runcit ICE dan EV
Jualan gabungan bagi eMas 5, eMas 7 and eMas 7 PHEV mencapai 3,888 unit pada Julai, sekali gus melonjakkan penyerahan terkumpul bagi tahun 2026 kepada 21,808 unit.

Proton eMas 5 kekal sebagai kenderaan elektrik (EV) paling laris di Malaysia dengan 13,196 unit terjual YTD, manakala eMas 7 PHEV terus menerajui segmen hibrid plug-in dengan 4,946 unit diserahkan. Jualan bagi model elektrik sepenuhnya, eMas 7, mencatatkan 3,666 unit.
Ketiga-tiga model elektrifikasi ini dipasang di kilang Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) Proton di Tanjung Malim, dengan komponen utama seperti Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dan Electric Drive Unit (EDU) turut dihasilkan secara tempatan di Hub Rangkaian Kuasa Termaju (Advanced Powertrain Hub) milik syarikat tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PRO-NET, Zhang Qiang berkata pertumbuhan berterusan jenama Proton eMas mencerminkan peningkatan penerimaan pengguna terhadap kenderaan elektrik, disokong oleh inisiatif seperti Proton eMas SuperApp, rangkaian pengedar yang semakin berkembang, dan kerjasama dengan rakan kongsi infrastruktur pengecasan.

Perniagaan eksport Proton turut mencatatkan pencapaian penting pada Julai selepas mengeksport 1,398 unit kenderaan, menandakan jumlah eksport bulanan tertingginya sejak Mac 2013.
Peningkatan ini didorong oleh permintaan luar negara yang lebih kukuh serta aktiviti pengeluaran serantau membabitkan model kerjasama Proton-Geely yang dipasang di kilang Tanjung Malim untuk pasaran eksport terpilih.
Menurut Proton, peningkatan jumlah eksport ini dijangka dapat meningkatkan kadar penggunaan kapasiti kilang di samping menyokong pembangunan Automotive High Tech Valley (AHTV), sekali gus mengukuhkan rantaian bekalan automotif Malaysia dan mewujudkan peluang tambahan untuk pembekal komponen tempatan.
Dato' Ir. Abdul Rashid Musa menambah bahawa eksport dijangka memainkan peranan yang semakin penting dalam strategi pertumbuhan jangka panjang Proton selain perniagaan domestiknya.